Potret gambar, dompet dan pakaian antara barangan peribadi yang ditemui di persisiran Pantai Tanjung Balau, dipercayai peninggalan mangsa bot karam di pantai tersebut pagi tadi./ Gambar FB BERNAMA

SERAMAI 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditemukan lemas apabila bot dinaiki mereka karam dipercayai akibat cuaca buruk di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi awal hari ini.

Dalam kejadian itu, 21 lagi warga Indonesia ditemui selamat, namun dipercayai terdapat kira-kira 50 penumpang dalam bot berkenaan yang bergerak dari Batam.

Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata kejadian itu dilapor pada 4.30 pagi dan operasi mencari serta menyelamat mangsa yang masih hilang sedang dilakukan.

“Berdasarkan maklumat awal, kira-kira 50 pendatang tanpa izin berada di dalam bot itu…10 mayat ditemukan oleh pasukan Tentera Darat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Baca: PATI menunggu masuk Malaysia

Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia meninggal dunia selepas sebuah bot yang membawa mangsa karam di perairan Tanjung Balau awal pagi tadi. – Foto Maritim Malaysia Johor

Beliau berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mengaktifkan Op Carilamat bermula 8.50 pagi ini dengan mengatur gerak pesawat AW 139 Agusta, kapal KM Tegas dan bot Petir 50.

Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima laporan kejadian daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, yang mendapat maklumat berhubung penemuan bot berkenaan di pantai itu daripada Markas Taktikal Tanjung Sepang, katanya.

Pada perkembangan kemudian, satu lagi mayat ditemui pihak berkuasa dalam dalam mencari dan menyelamat itu.

Mereka yang ditemukan lemas terdiri daripada tujuh lelaki dan empat wanita.

Dipercayai 25 lagi penumpang bot berkenaan masih belum ditemui.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Tusa pada sidang media di lokasi kejadian berkata, operasi mencari dan menyelamat kemungkinan akan mengambil masa kira-kira empat hingga 10 hari bergantung kepada keadaan semasa.

“Siasatan akan dilakukan bagi mencari dalang sindiket yang membawa pendatang tanpa izin yang menaiki bot karam itu,” katanya.

Terdahulu, Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Kem Terendak Melaka, dalam kenyataan memaklumkan kejadian dilapor kira-kira 4.30 pagi dan bot itu ditemukan dalam keadaan terbalik dilambung ombak kira-kira 20 meter dari pantai itu.

“Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF (Pasukan Tindak Balas Pantas) dan Tim Dron Angkatan Tentera Malaysia serta bantuan daripada pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia bagi menjejak kemungkinan saki baki pendatang tanpa izin di sekitar kawasan tangkapan,” menurut kenyataan itu. 

@utusantvofficial

Salam takziah buat semua mangsa terlibat. #foryou #fyp #beritaditiktok #viralnewsmalaysia #lemasjohor 📹 Bomba Johor

♬ Sad Music – Max-Music

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram