Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan peniaga di Little India Kuching hari ini.

KABINET bersetuju menubuhkan Majlis Pemulihan Negeri bagi mempercepat pemulihan ekonomi susulan pandemik COVID-19, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Beliau berkata penubuhan itu melibatkan jawatankuasa peranan tindakan peringkat daerah untuk menilai jenis bantuan yang boleh disalurkan oleh kerajaan negeri tanpa memerlukan pembabitan Kerajaan Persekutuan. 

“Kita telah buat keputusan untuk mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri, ini dipersetujui oleh Kabinet dan arahan sudah dikeluarkan supaya negeri-negeri segera menubuhkan majlis ini. 

“Tanggungjawab untuk mempercepat proses pemulihan negeri bukan terletak di atas bahu Kerajaan Persekutuan sahaja. Arahan itu juga melibatkan peranan jawatankuasa tindakan di peringkat daerah yang dipimpin pegawai daerah, jadi dia boleh bawa ke (peringkat) negeri,” katanya dalam sidang media selepas sesi dialog awam bersama Majlis Pemulihan Negara edisi Sarawak hari ini. 

Muhyiddin Yassin menghadiri sesi dialog awam bersama Majlis Pemulihan Negara edisi Sarawak di Kuching hari ini. 

Baca: Kenaikan harga barang boleh jejaskan pemulihan negara – Muhyiddin

Majlis Pemulihan Negeri perlu ditubuhkan di setiap negeri – Muhyiddin

Memetik laporan BERNAMA, Muhyiddin juga berkata sekiranya kerajaan negeri memerlukan bantuan di peringkat Persekutuan, MPN akan meneliti dan memperhalusi perkara itu untuk tindakan susulan. 

Semasa sesi dialog awam itu, beliau meminta mereka yang menyuarakan cadangan kepada majlis itu menyediakan kertas atau memorandum lengkap untuk dimajukan kepada MPN.

Antara isu yang dibangkitkan dalam sesi itu ialah bantuan untuk perusahaan kecil dan sederhana, sektor pendidikan serta pembaharuan permit bekerja bagi warga asing.   

Sementara itu, menerusi Facebook beliau, Muhyiddin berkata, dalam lawatan kerja satu hari ke Kuching, beliau berpeluang bertemu dengan para pemain industri Sarawak menerusi satu sesi libat urus (townhall) dengan mereka.

Katanya, dalam sesi tersebut, beliau berkongsi dengan para peserta tentang fokus dan hala tuju pemulihan negara terutama dalam meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui pemberian bantuan dan pemulihan segera dalam semua sektor, terutama sektor-sektor kritikal.

“Antara yang telah dibangkitkan oleh pemegang-pemegang taruh dalam kalangan komuniti perniagaan Sarawak ialah isu kekurangan tenaga kerja dan masalah mendapatkan pembiayaan segera oleh sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam pelbagai bidang.

“Para pemain industri turut membangkitkan isu polisi kabotaj, isu gangguan dalam rantaian bekalan yang menyebabkan peningkatan kos barangan di Sarawak serta isu-isu lain berkaitan keperluan untuk kelangsungan perniagaan.

“Mengenai isu sosial pula, mereka melahirkan kerisauan tentang impak kepada sektor pendidikan akibat penutupan sekolah dan institusi pendidikan sehingga berlaku ketinggalan dan keciciran dalam pembelajaran,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram