SAMBUTAN ulang tahun kelapan perkahwinan Rozita Che Wan dan Zain Saidin baru-baru ini terganggu apabila suaminya positif COVID-19  bulan lalu.

Pelakon yang mesra disapa Che Ta itu turut mendedahkan anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana turut dijangkiti wabak tersebut sehari selepas Zain disahkan positif COVID-19.

Berikutan situasi tak terduga itu, pelakon drama Tahyul di TV3 menerusi watak Detektif Mazni ini berkata, perancangan bercuti ke sebuah pulau persendirian di Langkawi juga terpaksa ditunda.

“Ikutkan dalam seminggu juga saya, suami dan Aaisyah ditemani jurugambar akan menikmati percutian di pulau itu.  Kami patut pulang daripada percutian itu sehari sebelum ulang tahun perkahwinan yang diraikan pada 11 Disember lalu.

“Apa nak buat, kita tak mampu menghalang semua ini. Zain patut menjalani penggambaran sebuah drama bulan lalu, tapi akhirnya terpaksa menolak tawaran itu.

“Dia memang bergejala seperti batuk, selesema dan demam. Cuma kami kurang pasti terkena virus itu di mana. Kemudian ia berjangkit pula pada Aaisyah.

“Bagaimanapun Aaisyah hanya demam saja, tetapi deria rasanya masih ada. Tapi saya dan dua anak lelaki bersyukur kerana kami disahkan negatif. Syukurlah suami dan Aaisyah sudah pulih sepenuhnya,” katanya kepada URTV.

Ujar Che Ta, secara peribadi dia tidak begitu menyukai situasi yang terpaksa dihadapinya ketika ini.

“Memang apabila semua ini berlaku, habis semua perancangan termasuk menyambut ulang tahun perkahwinan terbantut. Tapi apalah daya kita nak menghalang semua ini daripada terjadi.

“Walaupun suami sudah lengkap dua dos vaksin, ia bukan jaminan yang virus jahat itu tidak menyerang. 

“Virus ini memang ada di sekeliling kita. Bila ada ahli keluarga dan adik-beradik yang positif COVID-19, kita kena reda.

“Kadang-kadang sejauh mana kita berhati-hati, kalau nak jadi… ia akan jadi juga,” kata Che Ta memberitahu ibu dan adik beradiknya turut positif COVID-19  beberapa bulan lalu.

Tambah Che Ta lagi, ketika insiden itu suami dan anaknya menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Kasihan tengok Aaisyah kena virus ini. Walaupun deria rasa tidak hilang, tapi sampai kena paksa dia makan. 

“Kebetulan masa kejadian, mak saya ada di rumah di Subang Jaya. Kebiasaannya mak memang banyak berada di Kedah menghabiskan masa di rumahya di sana. 

“Kebetulan juga unit rumah mak di sini berdekatan dengan kediaman saya. Jadi saya dan Aaisyah memilih untuk duduk di rumah mak. Suami pula terus kuarantin di bilik di rumah kami sendiri. 

“Dua anak lelaki pula memilih menemani suami saya di rumah,” ujarnya.

Sementara itu, seperti kelaziman meraikan ulang tahun perkahwinan, pasangan suami isteri itu tetap ‘bersanding semula’ dalam sebuah majlis keraian di sebuah lokasi eksklusif di ibu kota.

Che Ta dan suami mula ‘bersanding semula’ sejak 2019.

“Cuma majlis kali ini memang cukup sederhana kerana situasi semasa pandemik. Tapi tetap nak rasai ‘mood’ jadi pengantin dengan mengenakan gaun rona putih. 

“Tahun ini sempat juga melaram dengan  baju songket warna ‘maroon’ rekaan Man Kajang untuk sesi fotografi. Tahun lalu kalau ada yang masih ingat songket berwarna hijau rekaan pereka fesyen sama jadi pilihan,” kongsinya.

Che Ta dalam pada itu, tidak menyangka masa seakan berlalu hingga usia perkahwinannya terus bertambah.

“Pejam celik sudah masuk lapan tahun saya berkahwin. Tempoh itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui. Biasalah dalam tempoh itu ada gaduh ‘manja’ dan rajuk. Tetapi tak lama, lepas itu sejuklah.

“Pandemik ini juga menguji, tapi saya dan suami mengharunginya sebaik mungkin. Pernah ada ketika saya terguris hati dan sentap dengan suami, dia datang buat kejutan bawa jambangan bunga ketika saya menjalani penggambaran di Kedah.

“Pendek kata pada fasa sekarang memang kena kuat bertahan dan bertolak ansur,” katanya.

Dedah Che Ta, hingga kini dia masih dihujani dengan mesej langsung di media sosial bertanyakan tentang gambar suami yang jarang dikongsi.

“Tak kurang juga yang mengandaikan situasi tidak berkongsi gambar bersama di Instagram (IG) justifikasi rumah tangga kami berantakan.

“Memang kalau yang tahu, suami bukan kaki bergambar. Saya pula memang suka bergambar dan melaram. Hampir setiap hari entri IG ada saja foto baharu yang dimuat naik. 

“Tahun lalu, masa sambutan ulang tahun hari lahir saya, tak nampak kelibat suami pun ada yang buat kesimpulan itu dan ini. Hakikatnya suami terikat dengan penggambaran drama.

“Dalam hal begini saya tak boleh kawal apa pandangan orang lain. Saya ambil pendekatan untuk tidak peduli kerana orang hanya nampak luaran dan apa yang saya kongsi di IG. 

“Saya juga bersetuju dengan pandangan yang anggap soal kebahagiaan atau kesengsaraan itu tak perlu dipamer di media sosial,” tegasnya.

Che Ta dan Zain bernikah pada 11 Disember 2013 selepas berkenalan ketika membintangi drama Kiah Pekasam pada 2009. 

Pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan, Aaisyah Dhia Rana yang berusia tujuh tahun.

Selain itu, Che Ta turut memiliki dua anak lelaki, hasil daripada perkahwinan pertama.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram