Bekalan air di lima wilayah Air Selangor akan mula disalurkan bermula 9 malam ini dan dijangka pulih sepenuhnya pagi esok. GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid

BEKALAN air di kesemua 463 kawasan yang terjejas ekoran pencemaran bau diesel sehingga terpaksa menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 11.30 malam esok.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, proses rawatan air mentah di LRA Sungai Semenyih telah dimulakan berikutan tiada lagi bau dikesan di muka sauk.

Menurut Air Selangor, ia adalah untuk memastikan air terawat yang bersih dan selamat dapat diagihkan kepada pengguna.

“Bekalan air di kesemua 463 kawasan yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada 11.30 malam esok.

“Pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Air Selangor berkata, bantuan air alternatif melalui 81 lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas dan premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.

Air Selangor turut memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.

Baca artikel berkaitan: Diesel dibuang ke sungai, 463 kawasan di Selangor tak ada air

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi medium khususnya media massa.

“Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” jelasnya.

Pagi tadi, Air Selangor memaklumkan LRA Sungai Semenyih dihenti tugas akibat pencemaran bau diesel dikesan di Sungai Semenyih.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bekerjasama dengan Air Selangor bagi mengenal pasti punca pencemaran.

“Susulan henti tugas LRA Sungai Semenyih, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Wilayah itu ialah Petaling membabitkan 172 kawasan, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan),” katanya dalam kenyataan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram