Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim - Gambar FB TMJ

TUN Dr. Mahathir Mohamad disifatkan bukan sahaja tidak jujur kepada Majlis Raja-Raja tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung isu Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Itu merupakan titah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut beranggapan isu berkenaan dibuat secara tergesa-gesa.

Tunku Ismail bertitah, penyertaan dalam Statut Rom dan ICERD akan menggugat kesejahteraan rakyat dan menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu.

TMJ malah bertitah Dr. Mahathir tidak akan dapat menyelesaikan masalah-masalah negara yang diciptanya sendiri dengan menyerang institusi diraja termasuk isu perpecahan dan asimilasi kaum.

“Satu lagi pengkhianatan kepada rakyat Malaysia adalah apabila janji-janji yang dibuat kepada rakyat tidak ditunaikan.

“Apa-apa pun saya berdoa semoga Tun (Dr. Mahathir) panjang umur, sentiasa menghormati semua kaum di Malaysia dan berpegang teguh kepada Perlembagaan negara.

“Saya akan jumpa anda tidak lama lagi, Tun,” titah TMJ dalam hantaran di akaun Facebook rasminya.

Pada masa sama, Tunku Ismail turut berbesar hati apabila Dr. Mahathir memperkatakan tentang dirinya dalam buku terbaharu berjudul ‘Capturing Hope’.

Baca artikel berkaitan: “Hari Khamis kita berentap lagi…Kasi panas line tu wajib laaa” – komen Sanusi berkongsi hadiah dari TMJ

“Saya dididik dari kecil lagi untuk sentiasa menghormati semua agama dan juga rakyat berbilang kaum.

“Saya dan keluarga saya juga telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat pelbagai kaum dan agama serta akan terus membantu kebajikan semua kaum.

“Tetapi saya juga adalah seorang bangsa Melayu dan tidak lupa akan tugas saya mempertahankan agama Islam. Itulah sebab saya menentang Statut Rom dan ICERD,” titah Tunku Ismail.

Dalam buku terbaharunya itu, Dr. Mahathir menyifatkan TMJ sepatutnya memfailkan saman terhadap penyampai radio, Patrick Teoh sekiranya percaya telah dihina.

Bekas Perdana Menteri itu berpandangan isu tersebut tidak sepatutnya menjadi kes jenayah.

Menurut Dr. Mahathir, rakyat tidak boleh menghina Raja-Raja Melayu, namun undang-undang sama tidak mengangkat seorang Putera Mahkota ke kedudukan sedemikian.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram