SELEPAS muncul dengan single Aku Serius pada 2018, penyanyi Wany Hasrita dan Tajul sekali lagi berkolaborasi menerusi lagu Tragedi Cinta.

Meskipun sebelum ini timbul khabar angin mengenai keretakan hubungan persahabatan mereka yang membawa haluan masing-masing untuk menghasilkan single solo.

Namun gosip tersebut berlalu sepi selepas Tajul mendirikan rumah tangga.

Keserasian mereka dalam lagu dikatakan seolah-olah meneruskan legasi duet penyanyi Allahyarham Achik Spin dan Siti Nordiana.

Istimewanya single duet keempat mereka ini ialah kerana mereka menyanyikan kembali lagu duet popular Achik dan Nana, Tragedi Cinta hasil ciptaan Eddie Hamid dan Radeen Sri.

“Kenapa tidak, kerana kami pernah berduet bersama dan kali terakhir tiga tahun lepas. Tentunya ramai peminat yang menantikan kemunculan single duet terbaharu kami ini. 

“Niat kami selain untuk mengubat kerinduan peminat mendengar kami berduet.

“Kami juga ingin mengembalikan nostalgia masa lalu. Lagu ini juga sedap didengar,” kata Wany.

Sementara itu, menurut Tajul, ramai peminat yang ingin melihat dirinya kembali berduet dengan Wany.

“Ramai yang buat permintaan nak saya berduet dengan Wany. Jadi bila berbincang dengan syarikat FMC Music, mereka mencadangkan kami lagu Tragedi Cinta.

“Bila dengar semula lagu ni, terus saya menyatakan persetujuan cakap dan Wany pun sama.

“Secara peribadi, saya suka lagu ini dan  dapat sekali lagi berduet dengan Wany.

“Bagi saya, suara Wany sedap dan vokal kami sangat serasi bila digabungkan bersama,” ujarnya kepada URTV.

Menyentuh tentang situasi sewaktu mereka kembali merakamkan lagu duet ini, keduanya bersependapat bahawa mereka harus lebih bersikap terbuka dan professional membandingkan hal peribadi dan kerja. 

Tambahan pula kini Tajul sudah berumah tangga dan tiada perkara lagi yang perlu diungkitkan. Semuanya hanyalah tentang kerjaya dan demi peminat sahaja.

“Kami juga tak kisah jika ada yang nak bandingkan vokal kami dalam lagu ni dengan penyanyi asal sebab Achik adalah abang saya dan sedikit sebanyak mesti ada persamaan.

“Tetapi ia bukan bermakna saya tiru cara nyanyian Achik. Dan saya percaya bahawa suara Wany juga sangat merdu dan tak sama cara nyanyiannya dengan Nana. 

“Mereka berbeza dan saya bersyukur dapat duet dengan Wany dalam lagu ni sebab saya suka dengar suaranya yang sedap dan merdu,” ulasnya.

Bagi Wany, dia sedar lagu versi asal lagu Tragedi Cinta lebih istimewa dan mempunyai nilai yang bermakna.

“Jangan banding-bandingkan kerana bagi Wany yang lama tetap istimewa.

“Kami menyanyikan semula lagu ini dengan cara dan keserasian kami yang tersendiri,” luahnya.

Selain Tajul, Wany juga menyimpan hasrat untuk berduet di dalam sebuah single bersama Misha Omar selain rakan baiknya sendiri iaitu Wani Syaz.

Tragedi Cinta telah dilancarkan di semua platform bermula 9 Disember lalu dan telah mencatat lebih 400 ribu tontonan selepas enam hari dimuat naik di YouTube.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram