Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat produksi tempatan, World Evolution Brain Sendirian Berhad, yang menerbitkan pelbagai filem dan drama tempatan  dalam suatu majlis perjanjian persefahaman (MoU) di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP).

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kerjasama itu dilihat dapat memberikan kelebihan kedua pihak antara universiti dan industri untuk menyalurkan kepakaran yang sedia ada di peringkat fakulti bagi menampung keperluan dalam industri kreatif tanahair.

“Banyak kejayaan telah dikecapi oleh pihak fakulti menerusi penyertaan peringkat nasional mahupun antarabangsa, malah ada di antaranya diiktiraf dengan cemerlang.

“Bukan itu saja, kakitangan akademik FMSP juga menjadi pakar rujuk dari pihak industri secara berkala seperti khidmat nasihat dan rundingan dalam industri secara amnya,

“Dengan pelbagai pengiktirafan dan kecemerlangan, tidak mustahil UPSI mampu merealisasikan misi dan visi negara dalam melahirkan modal insan holistik yang cemerlang selaras dengan cogankata UPSI No.1 Pendidikan,” jelasnya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis yang sama.

Kerjasama tersebut melibatkan pertukaran kemahiran antara kedua-dua institusi bagi tujuan pembangunan dan pengembangan ilmu bidang Seni Persembahan, perkhidmatan perundingan berkaitan bidang kepakaran muzik, tari dan teater serta pelaksanaan program pendidikan melalui penempatan latihan industri dan latihan mengajar pelajar FMSP di World Evolution Brain (M) Sdn Bhd.

“Jalinan kerjasama sebegini sangat dialu-alukan kerana saya percaya universiti bukan lagi hanya berfungsi sebagai tempat mencari ilmu tetapi perlu menjadi mesra industri bagi memenuhi keperluan semasa,” jelasnya lagi.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif World Evolution Brain Datuk Jurey Latiff Rosly, menyambut baik jalinan kerjasama ini dengan menyifatkan sebagai peluang untuk meneroka pengembangan potensi dalam industri.

Syarikat produksi miliknya itu banyak melahirkan keluaran produk filem bermutu seperti filem aksi Libas (2011) dan filem Malay Regiment (2017) serta naskah-naskah drama dan telefilem yang mendapat sambutan penonton.

“Melalui kerjasama strategik ini, tidak mustahil untuk suatu hari nanti industri kreatif akan berkembang pesat seperti negara Korea Selatan yang bertitik-tolak di UPSI,” jelasnya.