DI kawasan hutan di utara Kanada, terdapat satu kejadian alam yang aneh, yang menimbulkan tanda tanya kepada para pengkaji.

Pandangan udara di sekitar kawasan hutan tebal di Ontario ini memperlihatkan banyak lingkaran aneh pelbagai saiz dengan diameter antara 300 meter sehingga 40,000 meter.

Kewujudan lingkaran bulat ini hanya boleh diamati menerusi pemandangan di udara. Jika di daratan atau masuk ke dalam hutan ini, sesiapa pun tidak akan perasan tentang kewujudan lingkaran misteri ini.

Lingkaran aneh ini hanya boleh disaksikan dari udara.

Lebih daripada 2,000 lingkaran seumpamanya telah didokumentasikan. Namun, ramai saintis menganggarkan jumlah sebenarnya melebihi 8,000. Semua lingkaran ini berbentuk bulat seperti cincin hinggakan ia digelar sebagai ‘Forest Rings’.

Penemuan lingkaran ini bermula menerusi rakaman foto udara pada tahun 1950-an yang disedari ahli geologi dan perhutanan. Beberapa penjelasan meletakkan teori kemungkinan fenomena anomali itu berlaku kesan daripada pendaratan pesawat UFO.

Ahli astronomi pula berandaian ia mungkin terhasil daripada hentaman meteor. Ada juga teori yang mengatakan pembentukan itu disebabkan jangkitan kulat seperti cendawan, sebelum mencipta bulatan di lapangan hutan. Bagaimanapun, penelitian yang dilakukan langsung tidak menemui sebarang cendawan pada akar-akar pokok di sana.

Pelbagai teori dikaitkan dengan lingkaran aneh ini.

Pelbagai teori dilontarkan oleh para penyelidik berhubung perkara ini, namun tiada satu pun yang dikemukakan itu berjaya merungkai misteri ‘cincin hutan’ dan ini terus membingungkan saintis dunia.

Stew Hamilton, seorang ahli geokimia dari Ontario Geological kemudian tampil mengemukakan teori baru. Kajiannya terhadap sampel tanah hutan itu sejak tahun 1998 mendapati, kandungan tanah dalam lingkaran cincin ini mengandungi sesuatu yang tidak diduga kerana wujud medan elektrik semula jadi di dalamnya.

Hamilton yakin cincin hutan gergasi itu terbentuk akibat tindakan elektro kimia semula jadi yang ada dalam tanah di hutan tersebut. Menurutnya, medan elektrik gergasi ini seharusnya tidak berada di hutan.

Hamilton menjelaskan bahawa aliran arus elektrik bersifat asid telah memamah tumbuhan dan tanah di situ menyebabkan muka buminya terbenam serta melekuk, melingkar di sekitar arus elektrik itu. Kekuatan yang keluar dari dalam bulatan itu telah membentuk lingkaran sempurna seumpama sebentuk cincin.

“Contohnya, membaling batu ke dalam air. Saat batu menyentuh permukaan air, gelombang air berbentuk bulatan yang sempurna akan terhasil di atas permukaan air. Teorinya sama seperti dengan kejadian cincin hutan gergasi ini,” ujar Hamilton.

Forest Ring di Kanada.

Mengapa hanya kawasan hutan di Ontario yang memiliki lingkaran aneh ini? nilah yang menghairankan para saintis sejak dahulu.

Dalam kajian yang dilakukan Hamilton untuk mengukur tanda isotop daripada beberapa lingkaran mendapati, kandungan gas asli masih baru di kawasan itu dan berkemungkinan ia masih dihasilkan secara terus menerus.

Teori Hamilton, asal hutan Ontario adalah berasaskan metana. Suatu masa dahulu, kawasan hutan itu dilitupi sebuah tasik glasier. Apabila glasier mula kering sekitar 10 ribu tahun lalu, ia meninggalkan enapan glasier dan campuran tanah liat.

Pun begitu, saintis masih belum menemui jawapan tepat tentang bagaimana medan elektrik boleh berada di dalam hutan tebal itu. Dan keanehan alam ini terus meninggalkan sejuta misteri kepada para pengkaji.

Bagaimana lingkaran ini terbentuk masih menimbulkan tanda tanya.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita