Ismail Sabri Yaakob bertanya khabar mangsa banjir yang dipindahkan ke SK Johan Setia di Klang baru-baru ini.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan cuti kecemasan kepada semua kakitangan awam yang terkesan akibat bencana banjir.

Menurut Perdana Menteri, untuk kakitangan swasta, syarikat disarankan memberi pekerja cuti berbayar atau “paid leave”, dengan tidak menolak peruntukan cuti tahunan dan gaji mereka.

“Saya berdoa semoga Keluarga Malaysia yang terkesan sentiasa tabah menghadapi musibah ini dan kerajaan akan terus bersama rakyat,” katanya menerusi Twitter beliau hari ini.

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas meninjau beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Klang, beliau berkata, cuti ini diberi kerana kerajaan memahami kesusahan kakitangan kerajaan yang terkesan akibat banjir.

“Bila mereka perlu masuk kerja semula, itu boleh dibincang dengan ketua jabatan masing-masing.

“Saya harap selepas selesai semua, dah balik, dah cuci rumah, bolehlah bekerja semula,” jelasnya.

Perdana Menteri pada masa sama menyeru majikan swasta memberi cuti kecemasan tanpa rekod kepada pekerja mereka yang terlibat banjir.

“Kalau cuti lima hari, jangan dipotong gaji lima hari itu. Ini untuk kita bantu mereka yang terkesan,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail Sabri mengakui memang benar ada kelewatan bantuan seperti penghantaran makanan semalam.

“Saya dimaklumkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air, jumlah hujan di Selangor semalam bersamaan purata hujan dalam sebulan.

“Bila tiba-tiba hujan seperti itu, maka berlaku kekalutan. Tidak menyangka air naik begitu cepat. Jalan pula banyak kenderaan, makanan tak dapat dihantar.

Baca: [VIDEO] PM arah bantuan segera, semua kementerian mesti lipat ganda usaha operasi banjir

[VIDEO] PM turun padang bertemu mangsa banjir Selangor

“Tetapi keadaan sudah pulih. Hari ini patutnya tiada isu lagi. Kita tidak mahu dengar lagi isu tiada makanan, tidak dibawa untuk dipindah.

“Anggota tentera, polis, bomba dan agensi lain sudah digerakkan untuk misi banjir,” katanya.

Sementara itu, katanya, Kerajaan Persekutuan akan memberi peruntukan awal RM100 juta untuk membaiki rumah dan infrastruktur yang rosak akibat banjir.

“Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi tujuan ini. Peruntukan ini akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan,” jelasnya.