DUA pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Mersing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas pertuduhan menerima wang keseluruhan bernilai RM14,000, dua tahun lepas.

Mohd Idham Mokhtar, 38, dan Mohd Sukrizal Mohd Shukor, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Idham yang merupakan seorang jurutera, didakwa menerima wang berjumlah RM9,000 menerusi akaun bank tempatan dengan tiada balasan daripada seorang individu berusia 44 tahun, melalui akaun bank milik syarikat individu terbabit yang mana diketahui ada hubungan dengan tugas rasminya sebagai jurutera daerah.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah bank di Jalan Ismail, Mersing, pada 19 Nov 2019.

Sementara itu, Mohd Sukrizal yang merupakan penolong juruukur bahan, didakwa menerima wang berjumlah RM5,000 menerusi akaun bank tempatan, dengan tiada balasan daripada individu sama melalui akaun bank milik syarikat individu berkenaan.

Mohd Sukrizal didakwa menerima wang berkenaan dengan sedar ada hubungan dengan tugas rasmi selaku Urusetia Jawatankuasa bagi kerja pembaikan lantai bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lembaga Endau, serta kerja pembaikan dinding dan lantai akibat mendapan di Sekolah Menenggah Kebangsaan (SMK) Anjung Batu.

Selain itu, kerja pembaikan turut meliputi pembaikan bumbung dan siling bagi empat blok bangunan di SMK Ungku Hussin, serta kerja pembaikan bumbung dan kerja berkaitan di SK Triang, Mersing.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank, Jalan Bandar, Pasir Gudang, pada 28 Dis 2019.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Suhaili Sapun manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Rosli Kamaruddin dan Mohd Zahir Rosli.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh dijamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Jan tahun depan.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram