Apabila berkisar tentang hidangan pencuci mulut pastinya kita terbayangkan hidangan kudap-kudapan yang manis-manis.

Dan pastilah salah satu bahan wajib ada dalam menyediakan kebanyakan hidangan pencuci mulut ini adalah GULA!

Macam-macam jenis gula yang ada di pasaran dan digunakan untuk menyediakan hidangan pencuci mulut ini yang kadang-kadang membuat kita sedikit keliru.
Jadi jom kenali jenis-jenis gula tersebut walaupun kebanyakannya memang dah kita ketahui.

Gula Pasir

Jenis ini adalah yang paling mudah didapati. Ia berwarna putih dan butir-butir gula agak kasar. Ia adalah antara bahan selalunya yang wajib ada di dapur dan sering kita manfaatkan untuk kegunaan harian seperti membuat minuman dan membuat pelbagai masakan.

Gula Kastor

Gula kastor sebenarnya masih dalam kategori gula putih, cuma teksturnya lebih halus. Ianya pilihan yang paling ideal untuk membuat kek, biskut, pastri, roti dan lain-lain kerana ia mudah cair apabila dipukul bersama mentega atau telur. Sesuai untuk ditabur pada donut!

Gula Batu

Gula ni pula bentuknya macam batu. Selalunya berwarna putih jernih. Dalam petua masakan, anda boleh letakkan gula batu apabila membuat agar-agar supaya ia keras dan tidak terlalu lembik.

Gula Aising

Gula ini adalah yang paling halus dalam kategori gula putih hingga menyerupai tepung. Ia bukan 100 peratus gula kerana telah dicampur dengan sedikit tepung jagung. Ia jarang digunakan dalam pembuatan kek tetapi ada digunakan dalam pembuatan biskut jenis piping untuk mendapatkan tekstur yang lembut supaya mudah dipicit keluar. Gula ini biasa digunakan untuk membuat aising mentega dan membuat fondant atau pes gula (sugarpaste).

Gula Perang

Gula ini sebenarnya ialah gula putih yang digabungkan dengan molasses, yang menjadikan teksturnya lembut. Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu gula perang gelap dan gula perang cerah. Terdapat juga gula perang lembut yang lebih halus teksturnya. Gula perang boleh menggantikan gula putih, menjadikan kek dan pastri anda lebih rasa dan tidak kering.

Gula Merah/Gula Melaka/Gula Kabung/ Gula Enau

Gula ini selalunya digunakan untuk membuat kuih-muih tempatan seperti kaswi, kuih lompang, kuih buah melaka dan sebagainya. Ada pelbagai jenis gula dalam kategori ini. Ada antaranya yang dihasilkan daripada nira kelapa (gula melaka), nira kabung (gula kabung), nira enau (gula enau), ataupun nira nipah (gula apong). Dan kesemuanya mempunyai rasa yang sedikit berlainan antara satu sama lain.