Pemandangan dari udara kawasan terjejas banjir yang diambil polis. FOTO PDRM


KEADAAN cuaca di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangkakan bertambah baik.

Berita baik itu disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia  (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah dalam satu kenyataan malam ini.

“Amaran Hujan Berterusan yang dikeluarkan pada pukul 11:30 pagi, 19 Disember 2021 untuk negeri-negeri berkenaan dengan ini ditamatkan,” katanya dalam kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Muhammad Helmi berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan. 

Selain itu, orang ramai juga boleh menggunakan talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu mengakibatkan beberapa buah negeri dinaiki air.

Terbaru, situasi banjir yang melanda di beberapa negeri bertambah buruk pada sebelah petang apabila lebih 34,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding lebih 21,000 orang pada tengah hari tadi.

Setakat ini, kejadian banjir susulan fenomena musim Monsun Timur Laut itu telah mengorbankan satu nyawa manakala dua lagi dilaporkan hilang dan dikhuatiri dihanyutkan arus deras di Pahang.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak lapan negeri terjejas akibat bencana banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.