DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua kementerian berkaitan melipatgandakan lagi usaha dalam membantu operasi banjir khususnya di kawasan yang terjejas teruk.

Menurut Perdana Menteri, sejak malam tadi dan sehinggalah pagi ini, beliau tidak henti-henti meninjau operasi menyelamat di sekitar Selangor dan menziarahi mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Katanya, selepas meninjau mangsa banjir di Kampung Lanchung, Putra Heights lewat malam tadi, beliau sangat risau dengan keadaan mangsa-mangsa banjir yang terkesan dengan musibah ini.

“Serta-merta, saya telah arahkan semua kementerian berkaitan melipatgandakan lagi usaha dalam membantu operasi banjir khususnya di kawasan yang terjejas teruk.

“Pagi ini, saya sendiri turun padang meninjau PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, PPS SK Telok Gong dan Masjid Al Islah Kampung Nelayan Telok Gong, Klang bagi memastikan keadaan mangsa selamat dan segala keperluan asas mencukupi sepanjang ditempatkan di pusat pemindahan sementara,” kata Perdana Menteri.

Ismail Sabri Yaakob bertanya khabar mangsa-mangsa banjir di PPS SK Johan Setia, Klang.

Baca: JKM pastikan mangsa banjir terima kemudahan dan bantuan – PM

[VIDEO] PM turun padang bertemu mangsa banjir Selangor

Menurut Ismail Sabri, beliau juga telah meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dan Negeri, serta agensi terlibat sentiasa memastikan segala kebajikan mangsa diberi perhatian.

“Saya berdoa semoga Keluarga Malaysia yang terkesan sentiasa tabah menghadapi musibah ini dan kerajaan akan terus bersama rakyat,” jelasnya.