WALAUPUN hujan sudah berhenti di beberapa kawasan namun keadaan banjir yang melanda di kawasan Lembah Klang semakin membimbangkan.

Banyak kediaman penduduk mula dinaiki air malah ramai juga yang terkandas di beberapa tempat dan terpaksa bermalam di dalam kereta.

Justeru, beberapa selebriti tanah air seperti Neelofa, Caprice, Sharifah Shahirah, Datuk Fizz Fairuz dan Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil menghulurkan bantuan.

Menerusi ciapan di Twitter, Neelofa meninggalkan pesanan untuk menghubungi talian Hotline Pertubuhan Kasih Neelofa jika memerlukan sebarang bantuan.

“Bagi yang mengalami sebarang masalah atau mengenali sesiapa yang terkesan dengan banjir, boleh hubungi Hotline Pertubuhan Kasih Neelofa di talian 012-2002102. InshaAllah kami akan cuba bantu,” ujarnya.

Sementara itu, menerusi perkongsian Caprice di Instagram, dia memanggil orang di luar yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda untuk membantunya memberi bantuan kepada mangsa banjir.

“Ada geng-geng Ford Ranger, trak, pacuan empat roda di kawasan tersebut? ‘Tag’ mereka dan periksa bahagian komen serta ‘story’ untuk berhubung terus dengan mangsa-mangsa untuk memastikan sama ada truck boleh masuk atau bot sahaja?,” Ujar Caprice.

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza turut bersama menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terkesan akibat banjir.

Siti memuat naik satu video pendek di Instagramnya memaparkan dia dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa sedang mengendalikan barang keperluan di Gedung Pasaraya Besar, Mydin USJ, Petaling Jaya.

“Kita usaha apa yang terbaik dan termampu, saya juga akan meminta pihak Kita Fund untuk membuat tambahan objektif Tabung Bantuan Khas Palestin dan Covid-19 kepada bantuan bencana lain.

“Terima kasih kepada pihak Mydin USJ kerana telah berusaha menyiapkan bungkusan makanan untuk diagihkan seberapa segera.

“Yayasan Nurjiwa berusaha untuk bantuan ini sampai kepada mangsa banjir ke kawasan berdekatan Shah Alam,” kongsinya.

Tidak ketinggalan, Fizz dan Sharifah Shahirah turut menyebarkan informasi berkaitan mangsa banjir yang memerlukan bantuan dan terperangkap dalam bencana alam tersebut.