DIGELAR sebagai sungai kuning, sungai Huang He merupakan sungai kedua terpanjang di China dan sungai ketujuh terpanjang di dunia. Sungai yang juga dikenali dengan jolokan ‘buaian tamadun Cina’ ini dikenali sebagai tempat kelahiran tamadun Cina purba.

Sungai sepanjang 5,464 kilometer ini bermula dari pergunungan Bayan Har di bahagian barat China, merentasi  sembilan wilayah dan berakhir di Laut Bohai, di bahagian timur laut negara itu.

Salah satu keunikan sungai ini kerana airnya yang berwarna kuning. Warna itu terhasil disebabkan sedimen kuning halus (loeses) telah menyebabkan warna air berubah menjadi kuning.

Sungai Huang He atau Sungai Kuning merupakan sungai kedua terpanjang di China.

Walaupun sungai ini telah memberi banyak manfaat pada kehidupan sekitarnya sejak berabad yang lalu, namun sungai ini juga memainkan peranan dalam kejatuhan beberapa empayar terdahulu hanya kerana ‘serangan’ banjir maut dari airnya yang telah meragut jutaan nyawa sejak zaman dahulu.

Aliran air sungai ketiga terpanjang di Asia ini mencatatkan beberapa kali peristiwa banjir besar yang dianggap antara banjir terburuk yang telah mengorbankan jutaan nyawa.

Sungai ini juga disenaraikan sebagai sungai paling banyak menyebabkan banjir iaitu lebih 1,500 kali sejak abad kedua lagi. Disebabkan itu, sungai kuning ini turut digelar sebagai ‘kesedihan China’ dan ‘kelaparan rakyat Han’.

Sungai Huang He @ Sungan Kuning.

Antara banjir terburuk pernah direkodkan terjadi pada tahun 1887. Ketika kejadian berlaku, paras air sungai meningkat secara mendadak sehingga paras maksimum iaitu 23 meter. Difahamkan, kejadian itu berlaku ekoran hujan lebat yang turun tanpa henti selepas berakhirnya musim panas.

Oleh sebab tiada persediaan awal dibuat, jutaan penduduk di kawasan berhampiran sungai gagal menyelamatkan diri. Dianggarkan lebih 300 buah kampung dan 11 buah bandar musnah selepas ditenggelami air banjir kuning tersebut.

Antara bencana banjir terburuk kerana limpahan sungai kuning.

Hampir 50,000 persegi wilayah Huayuankou tenggelam sekelip mata, menyebabkan kawasan berkenaan terputus hubungan selama beberapa hari sebelum air banjir mulai surut.

Malang terus menimpa apabila kawasan terjejas dilanda wabak penyakit dan kebuluran. Lebih teruk, pihak berkuasa tidak berupaya untuk menghulurkan bantuan ekoran kekurangan dana yang mencukupi. Oleh sebab itu, mangsa yang maut semakin bertambah setiap hari.

Banjir itu telah mengorbankan antara 900,000 sehingga dua juta nyawa, dan lebih dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Penduduk tempatan waktu itu percaya bahawa bencana banjir buruk itu adalah petanda Dinasti Qing telah kehilangan ‘mandat syurga’.

Selepas kejatuhan Dinasti Qing, China berada dalam keadaan huru hara kerana Perang Saudara China dan Perang Sino-Jepun Kedua.

Dalam keadaan itu, sungai kuning ini mengganas semula pada tahun 1931. Kali ini bencana banjir yang berlaku lebih dahsyat dan telah memusnahkan lebih 88,000 persegi wilayah terjejas.

Bencana banjir 1931 telah meragut hampir 4 juta nyawa.

Bencana kali ini telah mengorbankan antara 3.7 hingga 4 juta nyawa, menjadikannya antara banjir paling buruk dalam sejarah. Malapetaka ini telah memberi inspirasi kepada kerajaan untuk melabur dalam projek kawalan banjir seperti pembinaan Empatan Three Gorges.

Selepas itu pada tahun 1938, sekali lagi banjir besar berlaku, namun tidak seburuk tragedi 1931. Berdasarkan rekod, seramai 500,000 hingga 900,000 orang mangsa terkorban dalam tragedi banjir ini. Dikatakan kejadian banjir kali ini berpunca akibat kerja-kerja meruntuhkan batu-batu igneus di Keifang (sebuah jajahan di wilayah Henan).

Kerja-kerja tersebut telah dijalankan oleh pasukan tentera kebangsaan China ketika pemerintahan Presiden Chiang Kai-shek. Ia dilakukan atas tujuan keselamatan untuk menyekat kemaraan tentera Jepun sewaktu perang China-Jepun yang berlangsung pada tahun 1937 hingga 1945.

Bagaimanapun, kawasan itu dibangunkan semula pada tahun 1946 hingga 1947 sekali gus melencongkan arah aliran sungai Huang He ke Teluk Bo-Hai utara China.

Manakala pada tahun 1943, berlaku lagi banjir yang telah memusnahkan tanaman di wilayah Henan sehingga menyebabkan hampir 3 juta penduduk mati kelaparan.

Menerusi beberapa peristiwa banjir besar sebelum ini, kerajaan China telah mengambil inisiatif untuk mengawal peningkatan air sungai Huang He daripada terus mengalami banjir.

Menerusi pelan pembangunan yang dirangka, mereka telah menjalankan beberapa projek pembinaan untuk mengatasi masalah banjir di kawasan terbabit. Ia meliputi pembinaan empangan, membaik pulih kawasan terjejas, pusat pembekalan air bersih dan teknologi hidroelektrik.

Sejak itu, risiko bencana banjir di sepanjang sungai Huang He mula berkurangan. Walaupun masih menimbulkan ancaman, namun banjir yang berlaku selepas itu tidak lagi membunuh nyawa jutaan penduduk seperti dahulu.

Pada era moden hari ini, sungai Huang He mempunyhai 14 empangan hidroelektrik yang menjana tenaga elektrik untuk keperluan industri di China, selain berfungsi sebagai sumber utama air minuman dan pengairan tanaman.

Namun begitu, pada masa sekarang pencemaran industri merupakan salah satu ancaman besar kepada sungai ini dengan pembuangan berjuta-juta tan sisa kumbahan.

Di beberapa bahagian, pencemaran sugai ini mencapai tahap sangat berbahaya dan di beberapa tempat, air sungai ini tidak selamat lagi digunakan untuk minum. Pada tahun 2002, sungai ini pernah mengalami kemarau yang serius sehingga menyebabkan krisis air di negara tersebut.

Angkara pencemaran, di sesetengah bahagian air sungai ini tidak lagi selamat diminum.

__________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare