Pasukan polis membantu penduduk sekitar Taman Inderapura, Kuantan berpindah ke PPS semalam./ FB Polis Marin

JUMLAH mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus meningkat pagi terutama di Pahang yang menjadi negeri paling teruk terjejas.

Keseluruhannya seramai 43,314 mangsa dipindahkan ke 407 PPS di lapan negeri yang melibatkan 13,134 keluarga.

Setakat jam 7.58 pagi ini, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat merekodkan 25,782 mangsa dipindahkan di Pahang.

Ini diikuti Selangor yang merekodkan 11,407 mangsa daripada 4,264 keluarga dipindahkan ke 74 PPS di negeri tersebut.

Turut mencatatkan jumlah pemindahan mangsa yang tinggi ialah Kelantan dengan 3,801 mangsa.

Baca:Chalet dilanda banjir lumpur, tiga hilang, 32 selamat

Banjir bertambah buruk, 34,000 penduduk terjejas

Setakat jam 7.16 pagi tadi, sebanyak 57 PPS dibuka di negeri itu.

Lima lagi negeri yang turut merekodkan pemindahan mangsa banjir ialah Melaka (784) Kuala Lumpur (526), Negeri Sembilan (484), Terengganu (288) dan Perak (242).

Sementara itu, cuaca hari ini dijangka lebih baik dengan amaran hujan berterusan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Pahang yang dikeluarkan sebelum ini, ditamatkan malam tadi. 

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, keadaan cuaca di negeri-negeri terlibat dijangka bertambah baik. 

Menurutnya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan itu. 

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638.