Apabila perginya anak Adam bertemu kembali Sang Pencipta, tinggallah ahli keluarga di rumah menangisi pemergian insan tersayang.

Dan seakan sudah sebati dengan adat dan budaya, keluarga yang sedang bersedih inilah yang akan bertungkus lumus menyediakan hidangan buat tetamu yang hadir menziarah.

Sudahlah bersedih, dikerah pula tenaga untuk menjamu orang yang hadir.

Namun perkongsian Muhammad Syafiq Ibrahim ini cukup menjentik hati apabila kenalan keluarga hadir dengan niat memudahkan urusan keluarga si mati.

Ikuti perkongsiannya.

“Petang ini hadir ziarah kematian seorang saudara kami yang telah meninggal dunia pagi tadi.

Saat tiba, kelihatan 30 bungkus nasi kukus yang dibawa oleh kenalan keluarga si mati untuk makan tengahari. Untuk sesi awal pagi, saudaranya yang lain juga telah bawa 30 bungkus nasi kerabu sebagai makan pagi untuk ahli keluarga si mati. Sebelum pulang, mereka memaklumkan akan ada saudara mereka yang lain akan bawa makanan untuk diberikan kepada keluarga ahli keluarga si mati yang datang ziarah pada waktu malam.

Sesungguhnya keluarga mereka ini telah menghidupkan satu sunnah yang semakin dilupakan oleh masyarakat pada hari ini. Memberi makan kepada ahli keluarga si mati.

Sebagaimana sabda Nabi yang telah direkodkan oleh Abu Daud, At-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abdullah bin Ja’far beliau berkata apabila tiba berita kematian Ja’far (bin Abi Talib), Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja’far (isteri-isteri dan anak-anaknya), sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan (menyulitkan) mereka.”

Sememangnya tindakan mereka ini betul-betul membantu pasangan tuan rumah yang kelihatan tersangat penat. Cakap pun dah mamai kerana tak cukup rehat dari waktu sebelum Subuh lagi. Apatah lagi nak sediakan makanan kepada yang hadir ziarah. Memang tak sempat nak layan semua kenalan dan saudara mara yang hadir.

Semestinya tindakan ini juga menyenangkan keluarga si mati apabila sunnah ini dihidupkan oleh ketiga-tiga orang bersaudara yang menyediakan makanan ini. Semoga amalan sunnah dan warid daripada Nabi ini akan semakin subur dalam masyarakat kita.”