Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (dua dari kiri) bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Shapadu, Dato’ Sri Shafiz Shahrani (tiga dari kiri) menyediakan bungkusan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir ketika hadir ke Majlis Serahan Sumbangan Kumpulan Shapadu kepada Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (YKN) di Hotel Grand Campbell, Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir sama Ahli Lembaga Pengarah YKN, Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron (lima dari kiri) GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK RM35 juta telah diperuntukkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam usaha membantu meringankan beban mangsa-mangsa yang terkesan akibat bencana banjir seluruh negara. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, peruntukan di bawah Bantuan Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah dalam bentuk keperluan asas kepada mangsa banjir. 

Pada masa sama, Rina turut memaklumkan pihaknya sedang menunggu kelulusan bagi peruntukan tambahan bagi disalurkan kepada rakyat. 

Menurut Rina, sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk syarikat swasta kepada Tabung Banjir Yayasan Kebajikan Negara (YKN) juga amat dialu- alukan. 

“Sekarang ini kita dah belanjakan kira-kira RM35 juta untuk misi bantuan banjir. 

“Namun begitu, kita lihat keperluan mendesak untuk menambah peruntukan dan telah pun membuat permohonan. Jumlahnya itu nanti kita tunggu kelulusan daripada Kementerian Kewangan,” katanya. 

Baca artikel berkaitan: Penubuhan Srikandi Muda kukuhkan Bersatu, dekati beliawanis – Rina

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis serahan sumbangan Kumpulan Shapadu kepada Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia, YKN di The Grand Campbell Hotel, Kuala Lumpur hari ini. 

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Shapadu, Dato’ Sri Shafiz Shahrani dan Ahli Lembaga Pengarah YKN, Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor.

Kumpulan Shapadu turut menjadi syarikat korporat pertama tampil memberi sumbangan sebanyak RM150,000 kepada Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia. 

Kumpulan Shapadu dengan kerjasama 150 perunding syarikat pengeluar mesin Thermomix turut menyediakan 1,000 pek makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir. 

Dalam pada itu, Rina turut berharap lebih banyak syarikat swasta mengikuti jejak langkah Kumpulan Shapadu untuk sama-sama membantu rakyat yang terkesan dengan bencana banjir. 

“Ini yang kita perlukan dalam Keluarga Malaysia ketika negara dilanda musibah. Tidak kira individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat korporat, boleh salurkan kepada YKN. 

“Mereka tak perlu risau kerana kita akan sentiasa memaklumkan apa sahaja jenis bantuan yang diberi atas hasil sumbangan. 

“Selain itu, kita juga membuka pusat pengumpulan barang di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Orang Kurang Upaya (OKU), Bangi bagi memudahkan orang ramai menyampaikan bantuan,” jelas beliau. 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram