HANYA sekali lafaz, pelakon dan pengacara Uyaina Arshad sah bergelar isteri kepada penyanyi, Raja Syahiran dalam sebuah majlis pernikahan yang diadakan di Kuala Lumpur sekitar pukul 9.03 pagi tadi.

Pasangan itu dinikahkan oleh abang Uyaina iaitu Mohd Attaful Uzair Arshad dengan disaksikan Pendaftar Penikahan Perceraian dan Rujuk Orang Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Perseketuan, Mohd Abd Nasir Abdullah dan dua orang saksi.

Raja Syahiran atau nama penuhnya Raja Azhanrianshah, 28, menyerahkan mas kahwin sebentuk cincin dan gelang tangan emas buat Uyaina.

Tiada pertukaran dulang hantaran antara kedua belah pihak. Manakala jumlah wang hantaran pula dirahsiakan atas persetujuan kedua belah keluarga.

Majlis pernikahan itu dihadiri kira-kira 100 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan terdekat kedua pasangan.

Uyaina atau nama sebenarnya, Saidatul Naseha Uyaina Arshad meluahkan rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi apabila majlis pernikahannya berjalan lancar seperti yang dirancang.

“Alhamdulillah. Majlis pernikahan kami berjalan dengan lancar pada hari ini. Sebenarnya kami sudah merancang pernikahan ini sejak beberapa bulan lalu namun banyak pertukaran dari segi perancangan majlis.

“Ia berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang cepat berubah dan terkini. Selain itu, kejadian banjir terburuk yang berlaku pada dua hari sebelum nikah turut memberi cabaran kepada kami,”katanya.

Sementara itu, Uyaina dan Raja Syahiran sepakat memilih Eropah sebagai destinasi percutian bulan madu.

Walau bagaimanapun, mereka terpaksa menangguhkan hasrat tersebut berikutan penularan wabak varian baharu Covid-19 iaitu Omicron.

“Buat masa ini, kami bercadang untuk melawat keluarga dan saudara mara yang tidak dapat menghadiri majlis pernikahan.

“Kami nak memperkenalkan satu sama lain dengan keluarga besar masing-masing,” ujarnya.

Lebih manis, pasangan sama cantik dan sama padan itu telah memilih #URS sebagai tanda pagar rasmi walimatulurus mereka, yang merupakan akronim Uyaina Raja Syahiran dan juga merupakan singkatan bagi perkataan ‘Yours,’ dengan sebutan yang sama.

Selain itu, lagu Hingga Akhir Waktu yang dicipta pasangan ini turut menjadi tanda pagar.

Single tersebut merupakan ciptaan khusus buat ibu kepada Uyaina iaitu Siti Noor Farah.

Pasangan selebriti ini mula berkenalan pada awal 2019 di sebuah program terbitan Astro dan Uyaina menerima rombangan merisik keluarga Syahiran pada Julai tahun lalu.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram