Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat 145 mangsa banjir di Dewan D'Sury Jelebu, Negeri Sembilan baru-baru ini./ Gambar BERNAMA

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumuman empat inisiatif yang akan dilaksanakan agensi kerajaan dan sektor perbankan bagi meringankan beban rakyat dan peniaga perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan banjir.

Ismail Sabri menerusi kenyataan hari ini berkata Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menyediakan pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 dan bagi tujuan itu BSN memperuntukkan RM100 juta untuk ringankan beban mangsa banjir membeli peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat bencana itu.

Perdana menteri berkata moratorium (rehat bayaran) enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan pembiayaan itu dan inisiatif berkenaan terbuka kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

Menurut Ismail Sabri Tekun Nasional juga mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang terkesan.

Katanya bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan.

Menurut Ismail Sabri, Bank Negara Malaysia (BNM) juga sedang berusaha menambah peruntukan ke atas Kemudahan Bantuan Bencana 2022 atau Disaster Relief Facility (DRF) 2022 daripada RM200 juta kepada RM500 juta berdasarkan keperluan semasa.

Inisiatif lain kata perdana menteri ialah bantuan bayaran balik pinjaman untuk mangsa-mangsa banjir bagi pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga enam bulan.

“Antara kemudahan termasuklah penangguhan atau pengurangan bayaran balik ansuran,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata kesemua inisiatif berkenaan adalah lanjutan daripada bantuan kerajaan yang diumumkan sebelum ini termasuk bantuan wang ihsan berjumlah RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah bagi membantu meringkan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat banjir.

“Saya amat bersimpati dengan kesengsaraan dan kepayahan yang terpaksa ditanggung oleh Keluarga Malaysia akibat terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini,” kata perdana menteri.

Beliau berkata mangsa-mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor terpaksa menanggung kerugian akibat kemusnahan harta-benda.- BERNAMA