Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa bekalan elektrik di kawasan banjir akan disambung segera apabila banjir mulai surut.

Menurut Perdana Menteri, ia bagi memudahkan mangsa banjir mencuci rumah, mengepam keluar air banjir, pencahayaan dan demi keselesaan penduduk.

Perdana Menteri berkata, bekalan elektrik akan disambung sesegera mungkin selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan tiada kerosakan besar kepada pencawang.

“Saya telah mengarahkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membuat penyambungan bekalan elektrik secepat mungkin apabila selamat kepada kawasan terjejas banjir.

“Disebabkan masih ada kawasan yang ditenggelami banjir, TNB terpaksa menangguhkan penyambungan bekalan elektrik ke kawasan tersebut bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Perdana Menteri berkata, TNB terpaksa memutuskan bekalan elektrik buat sementara waktu kerana paras air masih berbahaya.

Pencawang elektrik Rumah Pam Labu Lanjut yang ditenggelami air

Baca artikel berkaitan: TNB buat persiapan awal hadapi musim tengkujuh

Kata beliau, litar pintas boleh berlaku dan boleh menyebabkan kebakaran.

“Lebih 350 kawasan di Lembah Klang terputus bekalan elektrik ekoran banjir.

“Atas faktor keselamatan awam, TNB terpaksa memutuskan bekalan elektrik buat sementara waktu kerana paras air masih berbahaya,” jelas beliau.

TNB dalam ciapan berasingan memaklumkan mengambil serius perkara berkenaan dan sedang bertungkus-lumus memulihkan infrastruktur bekalan elektrik kepada pengguna yang terjejas akibat banjir.

“Keselamatan pengguna sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam usaha pemulihan bekalan ini yang sedang giat dijalankan secepat mungkin,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram