
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain @ Abd. Rasid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu.
Pelantikan Razarudin, 58, itu berkuat kuasa 26 Disember ini bagi menggantikan Datuk Seri Mazlan Lazim yang akan bersara wajib, Sabtu ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Razarudin mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang dalam melumpuhkan serta memerangi kegiatan jenayah dadah di seluruh negara.
Pada masa sama, Hamzah turut meluahkan keyakinan bahawa gandingan baharu bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani akan memantapkan lagi gerak kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.
Menurut Hamzah, pelantikan itu juga adalah seperti termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.
“Alhamdulillah, atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri serta perakuan Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP), sebentar tadi saya telah menyerahkan watikah pelantikan kepada Razarudin sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.
“Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) merakamkan ucapan sekalung penghargaan kepada Mazlan atas jasa, perkhidmatan dan pengorbanan beliau kepada negara,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Suspek ditahan di Australia bukan keldai dadah – Razarudin
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara hari ini.
Razarudin yang berasal dari Dengkil, Selangor telah berkhidmat selama 36 tahun dalam PDRM sejak 27 Disember 1982.
Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.
Antara jawatan yang pernah disandang termasuk Ketua Polis Perak; Timbalan Ketua Polis Perak; Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pulau Pinang.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram