TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Namun bagi pendatang baharu yang berasal dari Kota Tinggi, Johor, Muhammad Hasif Sharuddin atau lebih mesra dengan panggilan Hasif Upin, tuah nampaknya menyebelahinya apabila muncul dengan single sulung yang berjudul Janji Sampai Mati.

Karya tersebut merupakan hasil ciptaan penyanyi Aizat Amdan bersama komposer Anas Amdan dan penulis lirik Mel Ramlan yang diterbitkan oleh Armani Entertainment Group.

Janji Sampai Mati turut menjadi runut bunyi utama drama 24 episod I Promise, Janji Anaqi dalam slot MegaDrama yang sedang ditayangkan di Astro Ria.

Drama tersebut diterajui oleh pelakon Sharnaaz Ahmad dan Emma Maembong.

“Syukur Alhamdulillah, setelah menyertai ujibakat The Audition yang dianjurkan oleh Armani Entertainment Group, saya menerima ‘superstar pass’ daripada pengarah tersohor Michael Ang dan terus diserap menjadi penyanyi.

“Mulanya saya ke sana untuk pencarian bakat lakonan tetapi apabila mereka mendengar saya menyanyi, terus saya ditawarkan kontrak sebagai penyanyi,” katanya.

Mungkin ramai yang kurang sedar, Hasif sebenarnya merupakan bintang TikTok yang tular dengan pengikut seramai 2.6 juta.

Selain itu pemilik akaun Abang Upin Ipin ini juga mempunyai lebih dari 29.9 juta tanda suka dek kerana video-video parodi Upin Ipin yang dihasilkannya.

“Semuanya bermula dengan video parodi Upin Ipin yang saya hasilkan selepas sahur pada Ramadan pada tahun lepas dan tak menyangka ia akan menjadi viral,” jelasnya lagi.

Single dalam genre balada pop yang berdurasi 4:11 minit ini dimulai dengan petikan piano yang mendayu dengan korusnya yang indah dan menggamit perasaan, ditambah pula dengan suara Hasif yang ‘jantan’ seakan-akan penyanyi dari seberang, Chakra Khan.

“Lagu Janji Sampai Mati berkisar tentang kisah cinta antara dua jiwa. Tentang penantian penuh kesetiaan dan janji yang terpatri sehingga ke akhir hayat.

“Sejujurnya, saya tidak tahu berperasaan sebegitu kerana masih bujang dan saya juga hidup sebatang kara setelah pemergian ibu tercinta menemui Sang Pencipta hujung Oktober lalu manakala ayah pula sudah lama tiada,” luahnya.

Berbekalkan dorongan serta nasihat dan ‘berkat’ menjaga ibunya sebelum ini, Hasif mengumpul kekuatan mencari rezeki dengan menceburi bidang perniagaan makanan disamping konten parodi yang dihasilkannya di laman sosial.

Proses rakaman yang berlangsung selama sehari banyak memberi impak positif kepada Hasif yang baharu sahaja menginjak dalam bidang nyanyian.

“Saya diberikan masa selama tiga hari untuk membuat ‘homework’ bagi memahami dan mendalami maksud lagu tersebut.

“Dan sepanjang proses rakaman sedang berlaku, guru vokal yang disediakan oleh pihak pengurusan iaitu Cikgu Sarah Ismail turut hadir di studio rakaman bagi memberi tunjuk ajar.

“Saya berterima kasih terhadap pihak Armani terutamanya Datuk KK Chua kerana memberikan saya peluang emas ini,” tuturnya.

Dalam usia menjangkau 29 tahun,ia sedikitpun tidak mematahkan semangat Hasif dalam memulakan kerjayanya dalam bidang seni.

Berbekalkan doa serta semangat arwah ibunya, Mimah Mahmud sekaligus menjadi pendorong dan pemangkin buat dirinya.

“Arwah mak suka mendengar nyanyian saya jadi saya dedikasikan lagu ini khas untuknya.

“Harapan saya agar penggemar muzik Malaysia dapat menerima kehadiran saya dan semoga single Janji Sampai Mati mendapat sambutan yang hangat,” akhirinya.

Janji Sampai Mati boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di YouTube Armani Entertainment.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram