PADA 25 Julai 2001, bumi Kerala di India bertukar merah selepas dibasahi ‘hujan darah’ selama sebulan. Fenomena aneh ini dilaporkan pernah berlaku di tempat yang sama pada tahun 1986. Malah, beberapa kali selepas itu masih berlaku hujan darah di daerah tersebut.

Menurut penduduk tempatan, sebelum kejadian aneh itu berlaku, mereka dikejutkan dengan cahaya kilat dan dentuman guruh di langit. Kemudian, diikuti air hujan berwarna merah yang turun dengan lebatnya hingga menyebabkan pakaian mereka juga berubah menjadi merah seperti terkena darah.

Setiap mililiter air hujan ini mengandungi sembilan juta zarah merah dan dianggarkan sebanyak 50 ribu kilogram zarah berwarna itu telah jatuh bersama hujan merah. Agak aneh kerana hujan merah ini kebanyakannya hanya turun di kawasan tersebut.

Hujan berwarna merah turun di Kerala, India.

Sejak itu, para saintis sentiasa mengkaji dan mengemukakan teori berkaitan hujan paling aneh dalam sejarah meteorologi ini.

Pada awalnya, para saintis menyimpulkan bahawa hujan merah itu adalah disebabkan debu dari gurun pasir di Arab yang dibawa oleh tiupan angin dan jatuh di Kerala.

Bagi Dr. Godfrey Louis, ahli fizik dari Universiti Mahatma Gandhi di Kerala, beliau tidak setuju dengan teori tersebut. Pada pendapatnya, pengangkutan atmosfera seperti badai debu tidak mampu menjelaskan fenomena ini.

Dr. Godfrey telah mengumpulkan air sampel hujan merah itu untuk kajiannya. Apabila dilihat di bawah mikroskop, beliau mendapati air hujan merah itu tidak berdebu. Sebaliknya, ia terdiri daripada sel biologi, seakan material daripada bentuk kehidupan di luar angkasa.

Beliau juga melakukan eksperimen dengan suhu yang berbeza untuk melihat apakah sel dalam air hujan itu akan memberi respons. Ketika suhu dinaikkan, lebih banyak reaksi aktiviti yang kelihatan.

Secara logiknya, kehidupan bumi yang normal akan mati pada suhu dan tekanan yang terlalu tinggi. Anehnya, sel-sel merah itu bertambah aktif dan terus berkembang meskipun dalam keadaan suhu yang ekstrem. Bahkan, tidak ditemui sebarang bukti kewujudan DNA dalam sel-sel yang membiak.

Air hujan yang turun berwarna merah.

Daripada eksperimen itu, Dr. Godfrey menyimpulkan bahawa zarah merah yang turun di Kerala itu adalah berasal daripada luar bumi. Ini diperkuatkan lagi dengan bunyi letupan dan cahaya kilat yang dilihat beberapa jam sebelum hujan merah itu turun.

Dia berandaian bahawa letupan meteor di udara adalah penyebab dentuman petir dan biasan kilat, lalu zarah-zarah merah terbebas dan jatuh ke tanah. Sebahagian mikrob yang dilepaskan bercampur dengan awan dan turun sebagai hujan.

Ramai yang bersetuju dengan teori itu bahawa kemungkinan penyebab hujan merah adalah letupan meteor yang menyebarkan sekitar 1,000 kilogram material. Puing-puing ini tidak akan terus jatuh dari stratosfera dan tidak terpengaruh oleh tiupan angin.

Tropica Botanical Garden & Research Institute (TBGRI) yang diarahkan oleh kerajaan India untuk menyiasat fenomena aneh itu mengatakan tidak wujud debu meteor, gunung berapi atau padang pasir dalam hujan merah tersebut.

Sebaliknya, hujan lebat berminggu-minggu sebelum hujan merah turun telah menyebabkan pertumbuhan banyak lumut. Inilah sebenarnya yang bertindak melahirkan sejumlah besar spora ke atmosfera. Alga spora ini dipercayai faktor yang menyebabkan kemerahan pada air hujan. Namun begitu, ia agak mustahil berlaku kerana tiada bukti jelas dapat menghuraikan bagaimana spora berada di dalam awan.

Bagi memperkuatkan teorinya, Dr. Godfrey telah menghantar sampel zarah merah dari air hujan tersebut untuk dianalisa di Universiti Sheffield, England dan Universiti Cardiff di United Kingdom. Hasilnya, pengkaji juga mengatakan sel dalam zarah tersebut bukan datang dari bumi.

__________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen