MINGGU ini mari sama-sama kita dengar keluhan ibu-ibu tunggal tentang masalah mereka dengan Mahkamah Syariah. Paling besar masalah yang mereka hadapi sudah pasti tidak dapat perhatian sewajarnya terhadap tuntutan nafkah apabila bekas suami sentiasa mengelak dan enggan membayar nafkah anak-anak yang menjadi tanggung jawab mereka. Sebaliknya mereka beri pelbagai alasan dan tipu helah untuk melepaskan diri. 

Pelbagai cara mereka lakukan seperti menyembunyikan diri dan merahsiakan tempat tinggal, bersekongkol dengan ibu, ayah serta adik-beradik tidak beri alamat tempat tinggal supaya bekas isteri tidak boleh cari atau mahkamah tidak dapat serahkan saman.    

Paling menarik, perbuatan enggan beri nafkah ini sentiasa mendapat sokongan dan disebelahi oleh Mahkamah Syariah. Maaf cakap, ramai ibu-ibu tunggal mendakwa Mahkamah Syariah sentiasa membela kaum lelaki serta ikut pembohongan mereka yang membuat pelbagai kerenah bagi menyusahkan ibu-ibu tunggal membuat tuntutan dan akhirnya memaksa si ibu tunggal tidak meneruskan tuntutan mereka. 

Kekecewaan demi kekecewaan diluahkan oleh ibu tunggal dalam menuntut nafkah anak, malangnya mahkamah tetap ikut kehendak kaum lelaki. Sebagai contoh, baca pengalaman Puan Salina ini. Beliau hubungi penulis melahirkan rasa kecewa dan sedih teramat dengan tindakan hakim Mahkamah Syariah yang membicarakan kesnya baru-baru ini. 

“Cuba puan bayangkan, hakim minta saya tunjukkan statement bank sebagai bukti bahawa bekas suami tak bayar nafkah. Sedangkan dalam kes tuntutan terdahulu hakim tidak sebut pun meminta saya tunjukkan statement bank. Kenapa kali ini hakim yang baru tiba-tiba minta bukti? 

“Pelik sungguh, kenapa saya yang menuntut nafkah dan mendakwa suami tak bagi nafkah maka saya pulak diminta oleh hakim supaya tunjukkan bukti. Sepatutnya bekas suamilah yang mesti buktikan kepada mahkamah yang dia ada bagi nafkah anak kepada saya.

“Kes tuntutan nafkah anak saya ini bukan baru setahun, dua saya tuntut, tetapi sudah berterusan lebih 6 tahun lalu.  Setiap kali menuntut, bekas suami cuma berjanji akan bagi nafkah, tetapi tak bagi. Taktiknya setiap kali saya buat tuntutan, dia akan tukar bank. Bayangkan saya terpaksa mencari statement bank lebih 6 tahun lalu. Bank tentu mengambil masa dan akan mengenakan bayaran kepada saya. 

“Ke mana lagi saya nak cari duit? Hutang dah keliling pinggang, pinjam pada adik-beradik dah bertepek-tepek. Lama-kelamaan mereka pun bosan nak tolong saya. Apa lagi hakim mahu? Kenapa nak susahkan saya? Kenapa tak suruh saja bekas suami tunjuk statement bank dia, jika benar dia kata ada bayar nafkah. Dia tentu rileks sebab dia ada peguam 

“Kes mahkamah saya ini sudah dua round. Dulu round pertama. Tak ada yang baru, dalam kes kedua ini, masih pada takuk sama. Kes akan datang saya dah boleh jangka, saya akan diminta tunjuk sebab bekas suami tak bayar lagi. Tak tahulah apa lagi lepas ini yang mahkamah hendak. Pada pusingan kedua ini bekas suami langsung tak datang ke mahkamah. Kenapa dia boleh lepas tidak ada tindakan? 

“Lepas ini rasanya bekas suami akan minta mahkamah benarkan dia buat bayaran secara beransur atau minta tangguh bayaran lagi. Yang jelas dia tetap tak mahu bayar nafkah. Dia tetap mahu lengahkan lagi keputusan hakim.

“Kemudian bila bekas suami tak bayar lagi, maka mahkamah akan suruh saya yang memohon nafkah ini supaya memfailkan semula tuntutan berserta bukti. Percayalah sekali lagi bekas suami tak akan bayar nafkah. 

“Kes naik turun mahkamah dan bertarik tolak dengan keputusan hakim akan berterusan hinggalah ke peringkat waran tangkap. Tetapi percayalah juga, waran tangkap itu pun bekas suami tak akan ambil peduli. Dia tak takut sebab dia tahu mahkamah tak bijak dan tak berani bertindak ke atasnya. 

“Pernah pembaca dengar berita ada suami dihukum penjara kerana tak bayar nafkah? Tak pernah, bukan? Sebab itu ramai bekas-bekas suami tak takut, dia sentiasa boleh berdolak dalik dengan mahkamah dengan bantuan peguamnya. 

Gambar hiasan: Pernah dengar bekas suami dipenjara kerana enggan beri nafkah kepada anak-anaknya selepas bercerai?

“Peliknya, bekas suami boleh bayar yuran peguambelanya yang makan belanja ribuan ringgit, tetapi tak mahu bayar nafkah anak. Mengapa? Hakim patut fikir masalah ini! 

“Saya dapat tahu ada kes tuntutan nafkah kawan saya, waran tangkap terhadap bekas suami sudah dikeluarkan lebih 10 tahun. Tapi bekas suami tetap tak kena penjara. Dia tak peduli dan dia tak takut pun dengan hukuman, apa lagi perintah mahkamah sebab Mahkamah Syariah macam orang tua tak bergigi. Macam pistol tak berpeluru. 

“Apa yang menyedihkan, semasa kes tuntutan nafkah saya ini berjalan untuk selama 6 tahun, bekas suami tetap tak bayar nafkah walau sesen pun. Semua tanggung jawab menyara anak-anak, belanja persekolahan semua terbeban ke atas bahu saya. Bekas suami lepas tangan dan ketawa besar, sebab dapat bodohkan Mahkamah Syariah dan menganiaya saya bekas isteri. 

“Prosedur Mahkamah Syariah yang sangat lemah ini memang beri peluang kepada bekas suami yang culas untuk terus tak bagi nafkah anak dan senang melepaskan diri. 

“Saya pernah terbaca dalam satu kes mahkamah yang diviralkan baru-baru ini, seorang hakim Mahkamah Syariah menegur seorang bapa yang mahu beri nafkah anaknya sebanyak RM7 sehari, sedangkan kata hakim banduan dalam penjara pun dapat peruntukan makan RM15 sehari. Maknanya jadi banduan lebih terjamin kebajikannya daripada anak yang sah taraf. 

“Saya rasa jika hakim mahkamah pernah buat kajian sendiri tentang kadar nafkah seorang anak yang bersekolah rendah, atau sekolah menengah, mahupun di universiti, tentu hakim boleh beri pertimbangan yang adil dan saksama. Fikirkan juga belanja sekolah, tambang bas, duit saku, pakaian untuk perayaan dan perubatan, tentu lebih banyak lagi 

Gambar hiasan: Mahkamah Syariah kena faham masalah dan kos hidup yang perlu ditanggung oleh ibu-ibu tunggal, bukannya membela kaum lelaki.

“Dan kalau hakim faham masalah ibu tunggal yang terpaksa menyara anak-anak sendiri, maka janganlah melewat-lewatkan perintah pemberian nafkah ini. Tentu hakim lebih faham bahawa tanggung jawab beri nafkah anak adalah amanah Allah kepada seorang ayah, bukan dipikul oleh seorang ibu yang diceraikan. 

“Jika sebelum bercerai ayah bekerja menyara nafkah anak-anak, mengapa setelah diceraikan tugas itu dibebankan kepada bekas isteri? Hakim tentu boleh baca niat jahat bekas suami yang mahu melepaskan tanggung jawabnya. Jadi tolonglah prihatin dengan masalah ibu tunggal yang turun naik mahkamah menuntut nafkah. Jangan seksa ibu tunggal lagi. 

“Sebenarnya buat tuntutan ke mahkamah bukan mudah kepada ibu-ibu tunggal. Mereka terpaksa bercuti jika bekerja, berhenti berniaga sehari semata-mata untuk ke mahkamah, selain terpaksa cari duit untuk tambang ke mahkamah. Lebih teruk lagi ibu tunggal terpaksa mempersiapkan mental untuk menghadapi cabaran dalam proses tuntutan di mahkamah.  

“Mahkamah Syariah sepatutnya buat kajian kenapa terdapat kes tuntutan nafkah melambak-lambak setiap tahun. Kenapa ada ibu tunggal terpaksa tinggalkan kes setengah jalan. Ia adalah kerana prosedurnya terlalu menyusahkan ibu-ibu tunggal, sebaliknya menyenangkan bekas suami. 

“Mahkamah sepatutnya jangan terima alasan bekas suami tak ada duit, tak mampu, kerana tak bekerja maka mereka enggan bagi nafkah anak-anak. 

“Kalau bekas isterinya yang dulu tak bekerja tetapi terpaksa bekerja atau berniaga  setelah bercerai demi untuk menyara anak-anak, jadi mengapa bekas suami boleh beri alasan dia tak bekerja, maka dia tak ada duit untuk beri nafkah? 

“Sepatutnya hakim boleh menilai antara usaha ibu tunggal terpaksa membanting tulang supaya anak-anaknya dapat makan, berbanding seorang ayah yang bekerja tetapi buat pengakuan dia tak bekerja serta tak mampu bagi nafkah dan sentiasa minta tangguh, tak datang mahkamah dengan pelbagai alasan dan pembohongan. 

Lelaki memang sengaja hendak menyusahkan urusan tuntutan nafkah oleh bekas isterinya, kemudian mereka ketawa dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah.

“Apa yang saya rasa amat pelik, setiap kali memfailkan kes tuntutan nafkah ke mahkamah, hakim akan meminta ibu tunggal buat tuntutan perbelanjaan, nafkah sara hidup, nafkah perayaan, nafkah persekolahan, belanja kecemasan dan perubatan. Semua hakim suruh ibu tunggal buat tuntutan tetapi akhirnya hakim yang tentukan jumlah nafkah yang bekas suami kena bayar. Jadi mengapa susahkan ibu tunggal buat tuntutan, sedangkan tuntutan itu tidak diguna pakai oleh hakim? 

“Bukankah lebih baik kalau mahkamah tentukan jumlah nafkah yang standard untuk  bekas suami beri kepada bekas isteri selepas suami lafazkan  cerai. Jika salah satu pihak tidak setuju, dia boleh membuat tuntutan kemudian. Tetapi nafkah awal sudah pun ditetapkan kepada bekas suami. Jika cara ini dibuat, ia tidaklah menyeksa ibu tunggal.

“Sebenarnya untuk naik mahkamah bukan satu kerja mudah. Si ibu perlukan perbelanjaan yang cukup besar seperti buat dokumen tuntutan nafkah. Jumlah itu belum masuk kos perjalanan. Kalau ada anak, perlu tinggalkan anak pada orang dan pengasuh, perlu dibayar upah. Kalau si anak bersekolah, mereka terpaksa dicutikan. 

“Untuk ini si ibu perlu sediakan duit. Mana si ibu tunggal nak cari duit kalau mereka cuma peniaga tepi jalan. Kalaupun si ibu bekerja, tuntutan anaknya lebih tinggi, sebab dia tahu ibu bapa mereka bekerja. 

“Sebenarya proses tuntutan ini banyak menyusahkan, mengganggu dan membebankan ibu-ibu tunggal serta anak-anak mereka sebab dalam tempoh empat, lima tahun belum tentu kes tuntutan nafkah boleh selesai. 

“Dalam tempoh tuntutan yang memakan masa lama ini sudah pasti bekas suami tetap tidak mahu beri nafkah. Lebih-lebih lagi hakim belum tetapkan perintah mahkamah, sedangkan ada perintah mahkamah pun si ayah boleh melarikan lari. 

“Lebih pelik si ayah boleh hidup senang lenang dan berasa amat bangga kerana bebas daripada bagi nafkah anak-anaknya sendiri, sebab memang niat mereke paling utama adalah untuk menyeksa bekas isteri. Mereka gembira dengan mahkamah yang banyak membela mereka. 

“Sebenarnya kes tuntutan nafkah ibu-ibu tunggal bukan berlaku sekarang, sebaliknya sejak lebih 30 tahun lalu, tetapi tidak banyak kejayaan kepada ibu tunggal, kecuali si ibu tunggal itu artis popular atau yang bekas suaminya seorang  VIP. Sudah tentu si ibu tunggal itu berjaya, sebab bekas suami VIP berasa malu kes mereka tersebar di media massa. 

Gambar hiasan : Tidak banyak kejayaan dicapai oleh ibu tunggal, kecuali dia artis popular dan bekas suaminya golongan VIP.

“Sepanjang lebih 30 tahun kes tuntutan mahkamah ini berlangsung, amat jarang ibu tunggal berjaya dalam tuntan mereka. Kalau pun berjaya, mereka cuma dapat tuntutan paling sedikit. Yang paling banyak berlaku, ibu-ibu tunggal tidak meneruskan tuntutan mereka dan berhenti separuh jalan kerana bosan dan benci mahkamah hanya membela kaum lelaki sahaja.”

Itu keluhan Puan Salina tentang pengalaman dengan Mahkamah Syariah lebih daripada 6 tahun. Turun naik mahkamah tetapi tuntutannya tetap gagal. Di manakah silapnya? Apa istimewanya bekas suami boleh terlepas daripada beri nafkah kepada anak-anaknya sendiri? 

Oleh: MAIMUNAH YUSOF

—————————————————————–

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari 
utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam