DI sebuah kota kecil Darvaz di Turkmenistan, terdapat satu sebuah lubang berapi yang unik sehingga penduduk menggelarnya sebagai ‘gerbang neraka’.

Ia adalah sebuah kawah berapi yang membakar gas tanpa henti sejak lima dekad yang lalu. Penduduk setempat  menggelarkan tempat ini sebagai ‘The Door to Hell’.

Ahli geologi menjumpai tempat ini secara tidak sengaja ketika proses cari gali sumber asli pada tahun 1971. Ketika itu Turkmenistan masih lagi berada di bawah jajahan Soviet, sebelum diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat pada 1991.

Tempat di mana pelantar gerudi diletakkan telah runtuh dan meninggalkan sebuah lubang besar dengan diameter kira-kira 50-100 meter. Ia adalah sebuah kawah gas raksasa.

Lubang tersebut dipenuhi dengan gas asli yang tak terhitung kuantitinya. Ketumpatannya sangat tinggi. Bagi mengelakkan gas-gas beracun keluar daripada lubang itu yang akan memberi kesan sampingan kepada kawasan sekitar, ahli geologi telah membuat keputusan untuk membakar gas-gas tersebut. Pembakaran itu telah menyebabkan kota Darvaz telah diselimuti asap toksik yang tebal.

Ketika ia mula-mula dibakar, para geologi menganggarkan api tersebut akan padam selepas beberapa hari. Namun, selepas beberapa hari bertukar minggu, bersilih bulan, dan berganti tahun, api di situ terus menerus menyala.

Sehingga kini, api tersebut masih lagi menyala tanpa henti. Ia telah menimbulkan fenomena yang memeningkan kepala para saintis kerana tidak dapat mengagak bila ia akan berhenti membakar.

‘Pintu Neraka’ ini terletak di negara Turkmenistan di bahagian timur Laut Kaspia atau Danau Kapiskoye yang terkenal kerana kaya dengan sumber alam.

Lokasinya secara tepat ialah di tengah-tengah padang pasir Kara-Kum, kira-kira 260 kilometer ke utara Ashgabat, ibu negara Turkmenistan. Tetapi banyak pihak yang terkeliru dengan menyatakan kota Darvaz terletak di wilayah Uzbekistan. Sebenarnya, lokasi lubang berapi ini terletak di sempadan Uzbekistan, tetapi masih di dalam negara Turkmenistan.

Mengikut anggaran, terdapat lebih kurang 11 bilion tan minyak, dan 5.5 trilion kubik meter gas yang terpendam di kawasan ini. Bukan saja penduduk setempat, malah pelancong-pelancong yang mengunjungi kota Darvaz turut bersetuju dengan gelaran nama ‘The Door to Hell’ atau ‘Gerbang Neraka’ ini.

Melihatkan kepada kawah gas tersebut, mungkin ada individu yang membayangkan inilah gambaran pintu neraka di alam akhirat nanti. Kengerian jelas terpancar dari julangan-julangan api yang membakar gas. Satu fenomena yang menggerunkan.

Pada waktu malam, ‘Pintu Neraka’ ini boleh dilihat dari jarak tiga kilometer. Bahagian dalamnya berwarna hitam yang terdiri dari karbon-karbon hasil dari pembakaran gas.

Kepanasannya juga dahsyat, lebih kurang 500 darjah celcius yang hanya memungkinkan benda hidup bertahan beberapa minit saja di tepi tebing kawah ini. Bahangnya masih boleh dirasai dalam jarak satu kilometer persegi walaupun pembakaran gas itu berlaku di dalam lubang yang dalam.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen