Sebanyak 60 pengunjung sebuah pusat hiburan di kawasan Pusat Perdagangan Danga Utama di sini dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN). GAMBAR HIASAN

SEBANYAK 60 pengunjung sebuah pusat hiburan di kawasan Pusat Perdagangan Danga Utama di sini dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Rupiah Abd Wahid berkata pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen itu diserbu sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) pada 12.45 tengah malam tadi.

Beliau berkata ketika polis memasuki premis terbabit, pengunjung didapati sedang leka berhibur dengan  muzik dipasang terlalu kuat.

“Pengurus pusat hiburan itu juga didapati gagal mengemukakan lesen hiburan dan kesemua pelanggan yang sedang leka berhibur itu melanggar SOP,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Rupiah berkata kesemua pengunjung terdiri daripada 39 lelaki dan 21 wanita kesemuanya warga tempatan, berusia 19 hingga 64 tahun itu serta pengurus dan tiga pekerja premis berkenaan  dikompaun RM1,000 seorang mengikut Peraturan 17 (1) Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor.- BERNAMA