SECARA fitrah, setiap makhluk akan mengalami transformasi usia dari muda ke tua, sehinggalah ke peringkat kematian. Apa saja makhluk yang hidup di dunia ini pasti akan mati apabila tiba masanya.

Bagaimanapun, kewujudan sejenis ubur-ubur kecil dilihat seperti melanggar hukum biologi alam itu. Keupayaannya mengubah semula kitaran hidup dengan cara mengundurkan usia, seolah-olah haiwan ini cuba mengelak daripada kematian.

Spesies ubur-ubur ‘Nutricula Turritopsis’ dikatakan mempunyai satu keupayaan luar biasa yang tidak ada pada makhluk lain, iaitu tabiat mengundurkan usia. Sifat semula jadi tersebut memungkinkan organisma marin itu menjadi satu-satunya makhluk di dunia ini yang mampu hidup abadi selama-lamanya.

Spesies ubur-ubur Nutricula Turritopsis yang mempunyai keupayaan luar biasa.

Melalui kajian yang dilakukan oleh seorang pakar biologi dari Swarthmore College, Amerika Syarikat, Profesor Scott F. Gilbert mendapati, organisma ini seperti melahirkan semula dirinya selepas mencapai usia matang. Ia akan memulakan kembali proses kehidupan yang baru, dan proses tersebut akan berulang sampai bila-bila.

Secara amnya, kitaran hidup seekor ubur-ubur bermula daripada telur, kemudian menjadi larva, polip, medusa dan seterusnya berubah kepada ubur-ubur dewasa.

Dalam keadaan normal, seekor ubur-ubur yang telah mencapai tahap kematangan seksual akan mati selepas berlakunya proses berkembang-biak. Proses kitaran hidup ini tidak mengambil masa yang lama, iaitu antara dua hingga enam bulan sahaja.

Tetapi proses ini tidak berlaku kepada spesies Nutricula Turritopsis. Selepas mencapai usia matang dan berlakunya persenyawaan, haiwan ini akan kembali semula ke peringkat di antara polip dan medusa – tahap sebelum menjadi ubur-ubur dewasa.

Kemudian, ia akan berkembang semula menjadi ubur-ubur, dan apabila capai tahap matang, ia akan berubah ke peringkat di antara polip dan medusa semula. Begitulah proses kitaran hidup Nutricula Turritopsis ini yang sentiasa berulang-ulang.

Kitaran hidup ubur-ubur ini menunjukkan ia tidak akan mati, sebaliknya selepas matang ia akan berubah semula kepada peringkat awal.

Berdasarkan penyelidikan yang dilakukan terhadap 4,000 sampel organisma ini, Profesor Gilbert mendapati, seratus peratus daripada keseluruhan sampel kajian akan kembali muda secara semula jadi.

Apa yang paling mengejutkan ialah, tidak ada satu pun daripada sampel tersebut mati walaupun jangka masa kajian yang dijalankan mengambil masa bertahun-bertahun lamanya. Tempoh tersebut dilihat sebagai mustahil untuk seekor ubur-ubur untuk terus hidup, yang mana rata-rata usia ubur-ubur hanya sekitar enam bulan sahaja.

Justeru, dengan kemampuan yang luar biasa ini, kebanyakan saintis marin menganggap ia adalah satu-satunya makhluk biologi yang mampu hidup secara abadi. Namun, proses ajaib ini masih lagi menjadi perbincangan dan kajian di kalangan ahli biologi di seluruh dunia.       

Keajaiban kitaran hidup ubur-ubur ini menjadikan ia digelar sebagai makhluk yang hidup abadi.

Bagaimanapun, populasi haiwan ini di lautan tidak banyak. Walaupun ia telah ditemui sejak 1857 oleh seorang pengkaji biologi marin bernama McCrady, pertambahan spesies ubur-ubur ini di lautan dilihat tidak begitu ketara.

Ia merupakan sejenis haiwan yang agak kecil dengan ukuran di antara empat hingga lima milimeter sahaja. Secara fizikal, bentuknya sama seperti ampai-ampai, iaitu berbentuk seakan loceng dan mempunyai sesungut lembut yang berjurai di bahagian bawahnya.

Ia hidup dengan cara menempel di karang-karang laut atau kapal, dan sekali-sekala berenang mencari sumber makanan yang terdiri daripada mikro-organisma laut.

Ubur-ubur Nutricula Turritopsis.

Spesies ini dipercayai berasal dari lautan Carribean, tetapi ia telah berkembang-biak ke seluruh belahan dunia melalui kapal yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Selain itu, ia juga mampu hidup dalam keadaan iklim yang berbeza.

Sekalipun mempunyai kemampuan yang luar biasa, Nutricula Turritopsis sering menjadi mangsa kepada haiwan laut lain seperti ikan, anjing laut ataupun spesies ubur-ubur yang lebih besar. Bahkan, ia juga boleh mati sekiranya terdapat wabak atau perkara-perkara lain yang mengancamnya sebelum ia mencapai usia matang.

Sekiranya ia mampu mengelak daripada menjadi pemangsa atau mengelak sebarang wabak, saintis percaya bahawa Nutricula Turritopsis adalah satu-satunya organisma yang akan kekal hidup sehinggalah tibanya hari dunia ini berakhir.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen