viral oku
Aidafazira Mohd Alias @ Ayit, 27 dan pasangan Mohd Faridzal Idris, 28.

KISAH cinta Aidafazira Mohd Alias @ Ayit, 27 dan pasangan Mohd Faridzal Idris, 28 heboh diperkatakan di media sosial bukanlah satu cerita dongeng yang kita lihat di kaca televisyen mahu pun di layar perak.

Mereka berdua selamat disatukan pada 18 Disember lalu, sebelum definisi cinta sebenar antara mereka berdua tular sehingga menitiskan air mata warganet melihat kepada kesanggupan si teruna menyunting dara walaupun tidak sempurna.

Menurut Aidafazira dia yang dilahirkan kurang upaya (OKU) sejak lahir dan pertama kali mengenali suaminya menerusi Facebook 10 tahun lalu, sebelum kedua-dua mereka mengambil keputusan untuk tinggal sebumbung.

“Kebanyakkan lelaki yang saya kenal tidak ikhlas menerima kekurangan saya, Tapi, dia adalah seorang lelaki yang sangat berbeza,” ujar Aidafazira ketika dihubungi UtusanTV.

Aidafazira yang lebih mesra disapa Jia mengatakan, dia kudung kaki kanan dan pendek kaki kiri sejak lahir lagi, manakala jari tangan kanannya juga ada empat saja manakala yang kiri bercantum.

“Saya memang sebegini sejak lahir lagi, dalam adik beradik atau saudara mara, saya seorang sahaja sebegini,” kongsinya.

Baca artikel berkaitan: Belum pun sehari buka TikTok, akaun rasmi abang Viva, abangvivaofficial sudah ada 45,000 followers

@aydalaven “Maaf saya hanya mampu pinjam kaki 😭” melengkapi 1 sama lain; awk trima kekurangan saya, saya trima kekurangan awk..TQ❤️🌹🥺#fyp #foryou #viral ♬ Sholawat Sedih – Instrumental – Asraf Studio

Menceritakan kembali, Jia berkata, sepanjang 10 tahun mengenali pasangannya, cinta mula berputik apabila dia melihat keikhlasan suaminya yang menerima segala kekurangan dirinya.

Malah, dia pernah lontarkan soalan kepada suaminya, kenapa memilih dirinya yang tidak sempurna berbanding wanita lain, tetapi respons suaminya membuatkan lidah wanita itu kelu.

“Dia berkata kepada saya, hati sudah sayang dan cinta, ini adalah jodoh, takdir dia untuk menjaga saya dan tidak pernah terfikir untuk mencari wanita lain yang lebih sempurna. Cukup hanya saya,” kongsinya.

Kisah mereka mula mendapat perhatian selepas Jia memuat naik satu video pendek di akaun TikTok @Aydalavenda, ketika dirinya didukung oleh abang kandung semasa hari persandingan pada 25 Disember lalu yang berlangsung di Taman Kota Muhibah, Teluk Intan, Perak.

Jia kemudian disambut pula oleh suami tercinta hingga ke pelamin.

Sehingga kini, rakaman video itu telah mendapat lebih 6 juta kali tontonan dan lebih 500,000 tanda suka daripada warganet.

Mereka dinikahkan di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang, Selangor.

Katanya, pertama kali bertentang mata dengan suaminya ketika itu, dia masih bersekolah di tingkatan lima.

“Ada kawan temankan saya ketika itu, dan dia tolak saya menggunakan kerusi roda berjalan-jalan dalam sebuah pasar raya tanpa rasa malu,” tambahnya.

Sejak itu, Jia mengatakan dirinya mula jatuh cinta dek kerana keikhlasan suaminya yang sanggup menerima dirinya, malah datang ke Kuala Lumpur dari Perak semata-mata mahu berjumpa.

Sementara itu, tinjauan UtusanTV ke ruangan komen mendapati , rata-rata netizen mengagumi ketulusan cinta dan melabelkan suaminya itu sebagai lelaki yang sukar dijumpai pada masa kini.

“Respect betul lah dekat lelaki ini and family dia. Bukan senang tau nak orang terima kekurangan seseorang itu,” kata @Noze.

“Satu dalam sejuta dapat lelaki macam itu. Semoga kekal hingga ke jannah,” doa @Nuruliman_

“Kalian dah buktikan kepada kami semua, cinta tak pandang harta dan rupa tapi cinta perlukan keikhlasan serta saling terima kekurangan dan kelebihan masing-masing. Allahuakbar, hilang kata-kata,” komen @Nickswanies.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram