SUSULAN berita dakwaan majlis perkahwinan pasangan selebriti Uqasha Senrose dan Kamal Adli yang dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP), pengarah terkenal Michael Ang sedia tampil memberi kerjasama kepada pihak polis.

Menurut Michael, tetamu yang hadir pada majlis yang diadakan di Puncak Dani, Genting Highlands, Pahang pada 15 Disember lalu perlu mengimbas kod MySejahtera dan tiada tetamu dimaklumkan sudah positif Covid-19 lagi.

“Saya ada ketika majlis malam berinai dan resepsi Uqasha dan Kamal yang berlangsung di Genting Highlands. Setahu saya semua yang hadir perlu menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

“Sudah tiga minggu majlis terbabit berlangsung dan Alhamdulillah tiada tetamu yang disahkan positif Covid-19 atau dimaklumkan saya kontak rapat dengan tetamu yang hadir. Semua yang hadir juga wajib mengimbas kod MySejahtera sebelum memasuki perkarangan dewan.

“Seandainya saya dipanggil untuk memberi keterangan saya sedia beri kerjasama kepada pihak polis bagi memudahkan proses siasatan dilakukan,” ujarnya menerusi laporan Harian Metro.

Tambahnya, dia berharap tiada pihak yang cuba membesarkan isu tersebut apatah lagi majlis pernikahan tersebut berlangsung dengan sempurna.

“Saya rasa kes banjir dan rompakan yang berlaku di negara ini perlu lebih diberi perhatian.

“Tapi kalau wujud kluster Covid-19 pada majlis terbabit boleh lah jika nak ambil perhatian,” katanya.

Menerusi video tular tersebut, pihak polis mendapati tetamu yang hadir pada majlis tersebut tidak memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Buat info, Uqasha Senrose, 29, dan Kamal Adli, 35, sudah bergelar suami isteri pada 5 November lalu, dan kini sedang menjalani ibadah umrah ke Tanah Suci Makkah sebagai destinasi pra-bulan madu.

SUMBER : https://www.hmetro.com.my/rap/2021/12/793620/sedia-beri-kerjasama