SEJAK dahulu, apabila tiba bulan Oktober, ramai penduduk serta pelancong di sekitar bandar Nong Khai di utara Thailand, akan berkumpul di pinggir sungai Mekong.

Mereka akan menanti sambil memerhati ke arah langit. Kemudian, akan muncul puluhan bebola cahaya berwarna merah daripada permukaan air.

Bebola cahaya itu tergantung di udara beberapa saat sebelum lenyap dalam kegelapan malam. Dan kemudian, akan muncul bebola cahaya yang baru pula. Semua yang berkumpul di situ akan bersorak kegembiraan sambil bertepuk tangan.

Fenomena luar biasa ini hanya muncul selama satu hingga tiga hari pada bulan Oktober setiap tahun di Nong Khai. Penduduk tempatan menggelar bebola api ini sebagai ‘Bung Fai Paya Nak’ atau turut dikenali sebagai ‘Bola api Nong Khai’.

Mengikut cerita mitos tempatan, bebola api tersebut muncul daripada mulut seekor naga yang tinggal di dalam sungai Mekong. Ia akan muncul dalam pelbagai warna seperti merah, putih dan merah jambu. Kemudian, ia akan terbang setinggi 100 meter dari permukaan sungai Mekong selama beberapa saat. Saiz bebola api ini lebih kurang sebesar telur ayam.

Bebola api yang muncul dari permukaan sungai Mekong di Nong Khai.
Setiap tahun pada Oktober pengunjung akan berkumpul di tepi sungai untuk menyaksikan fenomena aneh ini.

Menurut penduduk tempatan, mereka telah menyaksikan fenomena bebola api itu sejak berabad yang lalu. Biasanya pada hari kejadian bebola api itu muncul, penduduk akan ke kuil Wat Paa Luang.

Di situ akan diadakan satu upacara sebelum cahaya itu timbul dari permukaan sungai. Wat Paa Luang merupakan tempat yang terkenal untuk menyaksikan bebola api itu sejak lebih 450 tahun yang lalu.

Mengikut legenda setempat, ratusan tahun dahulu kawasan Nong Khai dikatakan tempat tinggal seekor naga. Malah penduduk di situ percaya cahaya yang muncul di permukaan air sungai itu datangnya daripada naga tersebut.

Ada juga penduduk warga emas yang bercerita semasa kecil mereka pernah melihat seekor naga berenang di sungai Mekong. Kata mereka, naga itu kelihatan seperti ular besar yang berwarna perak.

Replika naga yang popular dikaitkan dengan fenomena aneh ini.

Walaupun legenda mengenai kewujudan seekor naga di sungai terpanjang di Thailand itu heboh diperkatakan penduduk, namun tidak semua rakyat Thailand mempercayai dongeng tersebut. Bagi yang berfikiran moden, mereka menganggap kemunculan bebola api ini satu fenomena alam yang dapat diperjelaskan secara sains.

Salah seorang saintis Thailand, Manak Kanoksin telah menghabiskan masa berbelas tahun mengkaji fenomena tersebut. Dia mengemukakan satu teori bahawa bebola api yang muncul itu adalah satu fenomena alam yang disebabkan oleh endapan gas metana yang naik ke permukaan sungai.

Menurut kajian Manak, pada bulan Oktober kedudukan bumi akan mula berubah dan mengorbit hampir dengan matahari. Ketika itu berlakunya keadaan di mana graviti matahari akan menyebabkan tarikan graviti bumi berkurangan. Kejadian itu akan menyebabkan gas metana terhasil dalam dasar sungai. Kemudian, gas ini akan meruap naik ke permukaan air dan terbakar selepas bercampur dengan oksigen di udara.

Bagaimanapun, Kementerian Sains Thailand pula mengemukakan teori bahawa fenomena bebola api yang muncul di sungai Mekong itu terjadi akibat pembakaran gas phospire, dan bukannya gas metana.

Berdasarkan satu kajian yang dilakukan, mereka telah menggunakan alat pengesan khas kandungan gas yang diletakkan dalam sungai Mekong. Keputusan data yang diperoleh mendapati wujudnya satu aliran gas phospire di permukaan sungai.

Bagaimanapun aliran gas phospire itu hanya terhasil pada bulan Oktober sahaja. Gas tersebut terkumpul dalam dasar sungai lalu meruap ke permukaan air, dan terbakar selepas bercampur dengan oksigen. Kesan akibat pembakaran gas itu, satu cahaya bulat seperti bebola api akan kelihatan.

Walaupun cerita mitos dan fakta saintifik bertentangan, penduduk di Thailand tetap menganggap bebola api Nong Khai ini sebagai satu keajaiban yang berlaku di tempat mereka.

Setiap tahun bila tiba bulan Oktober, akan diadakan sebuah festival di sini untuk meraikan kemunculan bebola api tersebut.

Fenomena itu bukan saja menarik perhatian pengunjung dari dalam negara, malah juga pelancong luar sehingga ribuan pengunjung datang ke pesisir sungai ini untuk menyaksikan fenomena aneh tersebut, sekaligus turut membuka pintu rezeki kepada penduduk tempatan di situ.

Pesisir sungai ini akan dibanjiri pengunjung yang mahu menyaksikan fenomena bebola api tersebut.

__________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen