PENGACARA Fedtri Yahya memohon orang ramai untuk berwaspada dengan sebarang tektik pemasaran yang menawarkan perubatan alternatif menggunakan gambarnya sebagai bahan promsi di media sosial.

Ujar Fedtri,40, fotonya yang disebarkan oleh peniaga atas talian itu sebenarnya adalah babak lakonan semula program Khurafat di TV9 pada 2008.

“Ceritanya ketika penggambaran dijalankan, kami ada lakukan babak lakonan semula mengenai bomoh dan sebagainya.

“Mereka gunakan paparan foto itu untuk mempromosikan perkhidmatan mereka. Saya dah perasan lama berkenaan isu ini…setiap tahum mereka akan guna gambar saya dalam program itu.

“Seperti tahun sebelum ini, mereka guna untuk mempromosikan minyak lintah, perubatan kebatinan dan ada juga berkenaan jin serta khadam.

“Tahun ini pula ada khidmat ‘scan’ kecurangan pasangan. Bila foto tersebut sudah ada dalam Internet maka ia akan sentiasa berputar,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada sidang media program Aduan Jiwa yang diadakan secara maya.

Perkhidmatan yang ditawarkan menerusi aplikasi e-dagang

Terdahulu, Fedtri menerusi ciapan di Twitter miliknya telah berkongsi paparan skrin seorang peniaga di sebuah platform e-dagang yang menawarkan khidmat ‘scan’ kecurangan pasangan masing-masing dengan harga RM 30.

Mengulas mengenai tindakan yang akan dilakukan terhadap individu terbabit yang jelas telah memburukkan reputasi dan nama baiknya, Fedtri bagaimanapun tiada perancangan untuk mengambil khidmt perundangan.

“Saya dah pun berkongsi mengenai isu itu di media sosial, setakat ini semua orang ketawa. Saya sendiri yang tengok pun nampak lawak sebab mereka sediakan itu dengan bayaran RM5 sebulan…rasnaya tak ada orang yang percaya (perkhidmatan) itu.

“Saya tak terfikir nak ambil tindakan buat masa ini kerana tiada impak lagi, dekat platform jual beli atas talian itu pun saya nampak hanya ada lapan orang sahaja yang melanggan.

“Namun jika ada yang memanipulasi, sudah tentu tindakan undang-undang akan diambil,” ujarnya.

Aduan Jiwa adalah program bual bicara terbaharu kendalian Fedtri yang bakal bersiaran setiap Ahad jam 8.30 malam di TV9 bermula 2 Januari ini.