SEJAK ditayangkan pada 20 Disember lalu, drama Saat Kau Takluk Cinta Ini (SKTCI) mulai sohor kini (trending) dan mendapat tempat di hati penonton TV3.

Drama bersiri 15 episod yang diinspirasikan daripada novel dengan judul sama karya novelis Sera Hezra itu merupakan terbitan Kembara Sufi Sdn. Bhd, serta diarahkan oleh Zamri Zakaria.

Penerbitnya, Jaja Ishak berkata, dia tidak menyangka drama SKTCI mendapat sambutan yang baik meskipun negara berhadapan dengan bencana banjir yang agak teruk pada akhir tahun ini.

“Alhamdulilah, sambutan yang diterima cukup baik dan saya gembira dengan reaksi peminat terhadap naskhah ini.

“Dalam pada negara berhadapan dengan musibah banjir, masih ada lagi yang memberikan sokongan kepada drama Saat Kau Takluk Cinta Ini,” katanya kepada URTV.

Tambah Jaja, dia bersyukur kerana drama yang menggandingkan pelakon Idris Khan dan Intan Najuwa itu menjadi perhatian peminat disebabkan jalan cerita yang ditampilkan.

Paling mengujakan apabila drama berkenaan juga trending nombor satu menerusi aplikasi Iqiyi Malaysia yang turut menayangkan drama ini menerusi aplikasi penstriman sejam selepas ditayangkan di TV3.

“Memang banyak cabaran yang kita hadapi untuk menyiapkan drama ini. Sebenarnya, kami telah memulakan penggambaran pada pertengahan tahun ini.

“Namun dek kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika itu, kami terpaksa menangguhkan penggambaran dan menyambung semula selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Apa-apa pun saya bersyukur kerana dapat menyiapkan naskhah ini seperti mana yang dijadualkan. Melihatkan sambutan hangat daripada peminat, itu menambahkan lagi semangat kami,” ujarnya.

Antara adegan dalam drama Saat Kau Takluk Cinta Ini di TV3

Drama tersebut mengisahkan Haira Melissa lakonan Intan Najuwa yang telah dibuang daripada keluarga setelah dituduh merampas tunang kepada adik tirinya. Dia melarikan diri ke sebuah kampung untuk mencari kawan baiknya.

Dalam hujan, dia yang menumpang berteduh di sebuah pondok bertemu dengan Rahhal Taufiq (Idris Khan) secara tidak sengaja dan bermulalah konflik satu persatu selepas itu.

“Jika diikutkan jalan cerita yang dipersembahkan dalam drama ini begitu kuat dan penuh dramatik. Saya beruntung kerana dapat bekerjasama dengan barisan pelakon hebat kali ini.

“Semua memberikan kerjasama yang baik dan dalam masa yang sama terus menghidupkan watak mereka. Saya harap drama ini terus diterima ramai dan memberikan sesuatu yang baharu kepada semua,” tuturnya.

Intan Najuwa memegang watak sebagai Haira Melissa

Selain Idris dan Intan, SKTCI turut dibintangi oleh Wafariena, Shakilla Koriri, Shazwan Zulkifly, Wan Maimunah, Raja Azmi, Farhan Asri, Jasmin Hamid dan ramai lagi.

Skrip drama ini diolah semula oleh Eja Lorena ini menjalani penggambaran di sekitar Kuantan, Pahang dan Kuala Lumpur sebagai lokasi utama

SKTCI ditayangkan menerusi slot Samarinda, Isnin hingga Khamis pukul 10 malam.

Tedahulu, Jaja melancarkan lagu Takdir nyanyian Aliff Iskandar yang dijadikan runut bunyi untuk drama ini.

Lagu tersebut boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music dan boleh juga didengar melalui semua platform digital.