Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman GAMBAR: Abd Razak Aid

SEPERTI mana keputusan mahkamah sebelum ini, parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah didaftarkan secara rasmi minggu lalu.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen Muar itu menerusi media sosial beliau hari ini.

“Birthday MUDA 23 Disember 2021!!

“Maaf tidak maklumkan lebih awal kerana kita mahu fokus pada misi banjir,” katanya.

Dalam hantaran sama, Syed Saddiq mengajak semua warga Malaysia menyertai parti pimpinannya itu.

Dakwa bekas Menteri Belia dan Sukan itu, MUDA adalah parti untuk semua dan parti untuk masa depan.

“Semua boleh jadi ahli MUDA – tua, muda, muslim, non muslim!,” jelasnya.

Baca: Mahkamah perintah Menteri Dalam Negeri daftar parti MUDA dalam masa 14 hari

Dalam pada itu, pada sidang media maya berhubung pendaftaran parti tersebut, Syed Saddiq berkata, setakat ini MUDA menerima lebih daripada 60,000 keahlian dari pelbagai latar belakang dan peringkat umur.

Kata beliau, proses permohonan keahlian parti muda amat mudah dan cepat dilakukan melalui laman web muda.my, dan ia tidak melibatkan sebarang birokrasi.

“Agak menarik apabila kita mempunyai peningkatan ahli dari golongan yang agak berumur sekitar 40-an hingga 60-an, terutamanya apabila kita berjaya mengumpul dana dan usaha ketika banjir, dan angka (keahlian) meningkat berbanding sebelum ini.

“Saya rasa paling tua berusia 83 atau 84 tahun,” katanya.