Kontena yang dijadikan kediman sementara buat dua keluarga terjejas banjir di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat.

DUA keluarga terjejas banjir di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat yang kehilangan rumah masing-masing akibat bencana itu mampu menarik nafas lega apabila menerima sumbangan kontena untuk dijadikan penempatan sementara mereka.

Berita gembira itu diumumkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Alhamdulillah sumbangan dua unit kontena yang saya umumkan semalam untuk dijadikan penempatan sementara bagi dua buah keluarga mangsa banjir di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat telah ditunaikan.

“Satu unit kontena telah dihantar petang semalam dan satu lagi hari ini,” kata Muhyiddin dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Kontena sumbangan Skuad Prihatin BERSATU itu akan dijadikan tempat tinggal sementara dua keluarga terlibat setelah rumah mereka dibawa arus dalam kejadian banjir besar minggu lalu.

Menurut Muhyiddin, beliau berharap sumbangan itu dapat meringankan sedikit beban kepada keluarga terlibat yang kehilangan tempat berlindung dalam sekelip mata minggu lalu.

Ujar beliau, seperti yang beliau nyatakan sebelum ini, Skuad Prihatin BERSATU akan meneruskan misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

Katanya, tumpuan akan diberikan kepada kerja-kerja membersihkan rumah dan memberi bantuan berupa barangan makanan harian, peralatan keperluan dapur serta barangan keperluan bayi dan kanak-kanak.

“Sekali lagi saya menyeru marilah sama-sama kita membantu dan menyumbang dalam apa cara cara dan bentuk sekali pun yang termampu bagi membantu mangsa bancana alam ini membina kembali kehidupan mereka terutama selepas banjir berakhir.

“Kepada para sukarelawan dan petugas barisan hadapan teruskan kerja-kerja murni ini, insya-Allah anda semua akan dilindung dan diberkati Allah,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, dana yang diterima oleh Tabung Bencana Banjir BERSATU yang dilancarkan pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU baru-baru ini telah digunakan untuk membantu mangsa-mangsa terlibat.

Selain itu katanya, tabung tersebut turut menerima sumbangan daripada orang perseorangan dan para dermawan lain.