TULAR sebuah video yang dimuat naik oleh seorang pengguna di TikTok, memaparkan suami kepada pelakon Izreen Azmida iaitu Ude Wahid tidak mengikuti isterinya di Instagram.

Tindakan pengguna TikTok itu telah menyebabkan Izreen berang kerana perkara tersebut boleh menjadi fitnah serta menjatuhkan rumah tangganya yang sudah dibina selama ini.

Jelas pelakon yang berusia 36 tahun itu di Instagram, dia dan suami tidak pernah mengikuti laman sosial antara satu sama lain sejak dahulu lagi walaupun sudah berkahwin.

“Demi secebis ‘content’, sudah berzaman kami tidak mengikuti akaun masing-masing, apa masalah?

“Kami sihat sejahtera di sini. Adakah kami perlu muat naik foto bersama setiap lima minit dan baru boleh dikategorikan sebagai pasangan bahagia?,” soalnya kepada netizen.

Tambah Izreen lagi, perkongsian video tersebut telah memberikan perspektif negatif orang ramai terhadap rumah tangganya dan dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.

“Anda pula yang lebih-lebih kerana muat naik tentang perkara lalu. Sakit ke?

“Ingat ya, berkongsi perkara sebegini yang boleh mengundang komen-komen negatif, hinaan dan menjatuhkan aib boleh didakwa,” tegasnya lagi.

Paparan skrin seorang pengguna TikTok yang mengundang fitnah

Menurut pelakon drama Hadiah Dari Tuhan itu, dia sering menjadi bahan netizen mengenai kisah rumah tangganya yang pernah menjadi kontroversi sebelum ini.

Tidak tahan dengan sikap netizen yang tidak bertanggungjawab, dia kini tidak mahu berdiam diri lagi dan perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk elakkan perkara sebegini berulang lagi.

“Semua orang sudah ada kehidupan masing-masing tetapi anda pula yang menggelabah tersekat dalam kehidupan orang lain. Sudah lama aku senyap dengan orang seperti ini, nak kena ambil tindakan juga.

Bagaimanapun, takut tindakan saman dibuat oleh Izreen, pengguna TikTok itu nyahaktifkan akaunnya dan Izreen berharap perkara tersebut tidak berulang lagi kelak.