SEMUANYA bermula ketika membuat persembahan dalam satu program Projek Ikhlas pada 2015, kumpulan UR’S sehingga kini mula bergerak aktif memperjuangkan genre rock/metal dan slow rock.

Kumpulan yang berasal dari Singapura ini dianggotai Ajyz selaku gitaris, Rudy (vokalis), Ekin (keyboard), Basri (gitaris), Fadzil (drum) dan Boy (bass).

Lebih menarik lagi,Rudy merupakan bekas penanyi kumpulan Justice yang popular dengan lagu Anggerik Impianku pada era 90-an.

Menurut Ajyz yang bertindak sebagai ketua kumpulan berkata, biarpun kumpulan mereka berdepan dengan situasi pertukaran ahli kumpulan sejak 2015, namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk berkarya.

“Awal 2016 sehingga kini akhirnya UR’S kekal dengan anggota yang sama. Kami memiliki minat dengan konsep dan genre muzik sama.

“Kami bergabung untuk memajukan industri muzik lebih jauh lagi dengan menempah dan sekaligus mendapat undangan di serata Singapura dan Malaysia,” katanya kepada URTV.

UR’S pernah membuat persembahan di Ipoh, Perak, Melaka, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Selangor selain pernah berada satu pentas dengan kumpulan XPDC, May, Dinamik, Bloodshed, Junction dan ramai lagi.

“Kumpulan kami pernah mendapat undangan untuk ditemu bual oleh Radio Malaysia,CTC.FM pada November 2018.

“UR’S juga pernah menjayakan ‘show’ di Stadium Ipoh Perak, Fiesta Gempak di Teluk Intan, Konsert Gegaran Rocm Lagenda di Ulu Tiram, Johor Bahru, Insider Satellite Ipoh, Perak, Dewan Hang Tuah Melaka.

“Selain itu, di Warisan Studio Klang, I-Cafe Sungei Buloh, Drum Asia Seri Hartamas, Gama Rock House Johor Bahru, Sunburn Studio @ Cafe Rawang dan banyak lagi.

“Manakala di Singapura, UR’S pernah berkongsi pentas Bersama Rusty Blade (RockFest) di Wisma Geylang, Kreta Ayer People’s Theatre bersama Bloodshed dan telah mendapat banyak undangan di konsert-konsert, gig, kelab masyarakat dan sebagainya,” kongsi Ajyz lebih lanjut.

Bercakap soal single, UR’S pernah menerbitkan lagu Darah Airmata pada pertengahan 2018 dan pernah berada disenarai lagu di Radio Ria 89.7.

“Pada 23 November lalu, kami hadir dengan single kedua berjudul Cinta Gojira dan sudah dimainkan di radio di Singapura, Radio Ria 89.7.

“Kami juga telah mendapat gelaran Band Metal Anime dari radio sama.

“Cinta Gojira adalah lagu ciptaan dan gabungan idea semua anggota UR’S yang mengisahkan cinta di zaman sekolah yang sinonim dengan gelaran cinta monyet ketika di tingkatan tiga.

“Menerusi lagu ini, pendengar boleh mengimbau kembali kisah lalu mereka yang penuh dengan memori manis,” ujarnya.

Ditanya mengapa memilih Malaysia sebagai rangka promosi, kata Ajyz mereka ingin memikat pendengar negara ini sekaligus dapat mengenali UR’S dengan lebih dekat.

“Dengan pandemik yang memisahkan antara dua negara buat masa kini, UR’S berharap penampilan secara ‘live’ akan ditunggu-tunggu oleh pendengar di Malaysia dan berharap dapat memikat lebih ramai pengikut.

Pendengar juga boleh berinteraksi dengan UR’S di laman sosial Facebook dan Instagram. Cinta Gojira juga sudah berada di semua pelantar digital seperti Spotify, Youtube, Facebook dan Apple Music.