TAHUN 2021 menyaksikan ramai artis popular tanah air mendirikan rumah tangga walaupun dalam suasana norma baharu ekoran pandemik Covid-19.
Namun, prosedur operasi standard (SOP) mengikut garis panduan kerajaan tetap diutamakan bagi mencegah penularan wabak berjangkit terbabit.
Tahniah diucapkan buat artis kesayangan kita yang sudah selamat melangsungkan pernikahan dan didoakan semoga ikatan kasih ini berkekalan hingga ke akhir hayat.
Jom baca! Senarai selebriti yang memilih menamatkan zaman solo pada tahun ini.
Ayda jebat & Nabil Mahir
1 Januari 2021
Masjid Al-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Pasangan selebriti Ayda Jebat dan Nabil Mahir sah bergelar suami dan isteridengan sekali lafaz setelah lapan bulan mengikat tali pertunangan. Mereka dinikahkan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Rozimi Zamri. Ayda menerima tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang, serta mas kahwin berupa seutas rantai berlian. Namun, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.
Intan Ladyana & Harris Alif
5 Februari 2021
Pejabat Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Pasangan selebriti Intan Ladyana dan Harris Alif selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz yang turut disempurnakan oleh Penolong Pengarah Jawi, Ustaz Muhammad Azlan Marukum sebagai jurunikah dan wakil wali. Harris menyerahkan mas kahwin berupa set perhiasan barang kemas dan sebentuk cincin berlian. Intan yang menggayakan busana daripada Hatta Dolmat dan Epul Senitravision turut menerima tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang. Perbezaan usia 17 tahun di antara pasangan ini tidak menjadi penghalang untuk mereka menghalalkan hubungan cinta.
Hannah Delisha & Imam Shah
18 Februari 2021
Singapura

Hannah Delisha dan Imam Shah selamat disatukan dalam sebuah majlis tertutup di Singapura yang dihadiri oleh ahli keluarga dari kedua belah pihak. Berita bahagia itu dikongsi menerusi laman Instagram Hannah yang meluahkan rasa syukur setelah selamat disatukan selepas lima tahun perkenalannya bersama pelakon kelahiran Singapura itu. Malah, Imam juga pernah membintangi drama bersiri Lafazkan Kalimah Cintamu pada 2018 yang disiarkan di Astro Ria.
Risteena & Isa Khan
12 Mac 2021
Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin

Risteena Munim sah bergelar isteri kepada Isa Khan dengan sekali lafaz pada jam 10:30 pagi, setelah mengikat tali pertunangan pada 23 November 2019 di Bali, Indonesia. Pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Zainul Ilyas Zainul Abidin di dalam sebuah majlis ringkas yang dihadiri oleh 15 orang tetamu sahaja bagi mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Risteena turut menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang, selain menerima mas kahwin bernilai RM1,000 dan wang hantaran sebanyak RM32,000.
Noor Nabila & Engku Emran
19 Mac 2021
Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur

Noor Nabila Mohd Noor selamat disatukan bersama Engku Emran Engku Zainal Abidin, dengan sekali lafaz pada pagi Jumaat, 19 Mac lalu. Pasangan ini dinikahkan oleh adik kepada Noor Nabila iaitu Mohamed Aqief Mohd Noor yang berwakil walikan bapa kandung mereka. Engku Emran turut menyerahkan sebentuk cincin sebagai mas kahwin, tiada dulang hantaran diberi dan dibalas oleh pengantin serta wang hantaran juga tidak dimaklumkan.
Elizabeth Tan & Siew Jim
20 Mac 2021
Gereja di Gombak, Selangor

Tular foto majlis perkahwinannya di laman sosial, pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan mengesahkan bahawa dia sudah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Siew Jim pada 20 Mac lalu. Difahamkan, majlis perkahwinan berlangsung di sebuah gereja yang terletak di Gombak, Selangor serta dihadiri seramai 10 orang ahli keluarga terdekat sahaja.
Ernie Zakri & Syamel
26 Mac 2021
Masjid Puncak Alam, Selangor

Pasangan penyanyi popular, Ernie dan Syamel selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada jam 10:30 pagi Jumaat setelah mengikat tali pertunangan pada 15 Ogos 2020. Majlis pernikahan itu dihadiri oleh 20 ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Pasangan ini dinikahkan oleh jurunikah, Ustaz Zainal dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Zakri Ahmad. Syamel turut menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 serta seutas gelang tangan berlian, namun wang hantaran dirahsiakan. Ernie turut menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang.
Neelofa & PU Riz
27 Mac 2021
Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur

Pasangan sama cantik sama padan, Neelofa dan Haris Ismail atau PU Riz, selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada jam 11.40 pagi, Sabtu. Pasangan ini dinikahkan oleh adik Neelofa iaitu Mohamed Aqief Mohd Noor yang berwakil walikan bapa kandung. Dalam majlis serba putih itu, Neelofa turut menerima mas kahwin sebentuk cincin daripada Haris, dan jumlah wang hantaran yang dirahsiakan. Terdahulu, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 2 November 2020.
Elisya Sandha & Uzair Haqimy
21 Ogos 2021
Pejabat Agama Islam Daerah Gombak

Pelakon Elisya Sandha dan Uzair Haqimy diijabkabulkan pada 21 Ogos, jam 3.11 petang dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Mohd Faisal Abdullah. Uzair yang juga merupakan anak sulung kepada pelakon dan penerbit Sheila Rusly menyerahkan mas kahwin berupa seutas gelang emas putih serta wang hantaran berjumlah RM22,222.22. Elisya yang anggun mengenakan persalinan rekaan Teh Firdaus dan solekan oleh Datuk Alha Alfa menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima oleh pihak pengantin lelaki. Terdahulu, Elisya dan Uzair mengikat tali bertunang pada 31 Januari lalu.
Remy Ishak & Ezza Yusof
21 Ogos 2021
Masjid Negara, Kuala Lumpur

Remy Ishak dan Ezza Yusof selamat disatukan dalam upacara pernikahan serba ringkas dengan diwalikan abang kandung pengantin perempuan iaitu Rozman Yusof mengikut SOP yang ditetapkan. Remy turut menyerahkan sebentuk cincin sebagai mas kahwin kepada Ezza. Terdahulu, Remy dan Ezza mengikat tali pertunangan pada 2017 namun ikatan perhubungan tersebut terputus pada 2019. Namun, hubungan mereka dikatakan pulih pada tahun ini selepas Remy membuat kejutan hari jadi Ezza di sebuah restoran.
Zizi Kirana & Yusuf Bahrin
19 September 2021
Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju

Penyanyi terkenal, Zizi Kirana sah bergelar isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin dengan sekali lafaz. Pasangan ini turut memuat naik hantaran yang sama di Instagram iaitu dua keping gambar bersaiz pasport mengesahkan mereka sudah diijabkabul. Pada majlis itu, Zizi menerima mas kahwin RM300, cincin, gelang tangan dan senaskhah al-Quran.
Fizo Omar & Fazeera
21 Oktober 2021
Masjid Al Ridhuan, Hulu Kelang

Fizo selamat melangsungkan pernikahan dengan pramugari, Fazeera Nazri Azrai setelah berkenalan selama setahun. Hubungan cinta antara Fizo dan Fazeera yang juga merupakan pramugari yang berpangkalan di Doha, Qatar telah menerima ‘lampu hijau’ daripada puteri tercinta, Wan Maryam, 4 tahun. Difahamkan, akad nikah diadakan secara tertutup di Masjid Al Ridhuan, Hulu Kelang kira-kira 10 pagi dan pasangan tersebut diraikan dalam sebuah majlis di Bidaisari Resort, Janda Baik, Pahang pada hari yang sama. Jarak antara lokasi tersebut dianggarkan kira-kira 30 kilometer sahaja.
Uqasha Senrose & Kamal Adli
5 November 2021
Janda Baik, Pahang

Selepas sebulan bernikah, pasangan sensasi, Kamal Adli dan Uqasha Senrose memaklumkann bahawa mereka sudah selamat diijabkabulkan pada 5 November lalu dengan dua kali lafaz. Pasangan ini turut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Nik Sen Mat Ripin di sisi jurunikah, Tuan Izzuddin Abdul Mutalib, jam 9.39 pagi dalam majlis bertemakan dalam taman. Kamal turut menyerahkan wang tunai RM22.50 sebagai mas kahwin, serta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan. Terdahulu, Kamal membuat kejutan apabila melamar Uqasha secara langsung pada Anugerah MeleTOP Era 2020, Disember tahun lalu.
Caprice & Farra Inalis
15 November 2021
Lokasi pernikahan tidak dinyatakan

Caprice atau nama sebenar Ariz Ramli,33, selamat disatukan dengan Farra Inalis,26, apabila foto yang tular memperlihatkan pasangan sama cantik sama padan ini mengenakan persalinan persis baju nikah. Malah, menurut Caprice, dia sudah mengenali isterinya sejak setahun lalu sebelum melangkah ke alam perkahwinan dan merahsiakan hubungan mereka bagi mengelakkan campur tangan orang luar. Difahamkan, Farra merupakan ibu tunggal kepada seorang anak perempuan, Aleesya Sofea yang berusia lima tahun.
Haqiem Rusli & Sofea
19 November 2021
Masjid Cyberjaya

Dengan dua kali lafaz, penyanyi Haqiem Rusli sah bergelar suami kepada ahli perniagaan, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri pada jam 3.40 petang. Haqiem dan Anis yang menjalinkan hubungan cinta sejak dua tahun lalu itu dinikahkan Ketua Pegawai Agama Daerah Sepang, Zamzuri Ruslan serta disaksikan bapa pengantin perempuan, Wan Zamzuri Wan Muhammad. Haqiem menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 serta wang hantaran sebanyak RM100,000. Malah, Haqiem yang tampil tampan mengenakan persalinan berwarna kelabu rekaan Razman Razmi itu turut menyerahkan lima dulang hantaran berbalas jumlah sama oleh pihak pengantin perempuan.
Yonnyboii & Nik Nazira
20 November 2021
Duchess Place, Ampang

Penyanyi Yonnyboii atau nama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman, selamat bernikah dengan wanita pilihannya, Nik Nazira Nariman selepas sebulan mengikat tali pertunangan. Pasangan ini pada mulanya merancang untuk mendirikan rumah tangga pada 22 Januari tahun hadapan, namun mempercepatkan pernikahan atas permintaan keluarga kerana bimbang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula. Yonnyboii turut memberikan mas kahwin berupa wang tunai RM500 berserta hantaran berjumlah RM40,000 yang dikatakan sebagai nombor bertuah mereka selain beberapa dulang hantaran.
Puteri Aishah & Firdaus Sulaiman
21 November 2021
Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur

Hanya sekali lafaz, pelakon Puteri Aishah, 27, sah bergelar isteri kepada seorang ahli perniagaan, Muhammad Firdaus, 28, pada pukul 11.15 pagi. Puteri Aishah dinikahkan oleh Ustaz Mohd. Abdul Nasir Abdullah dengan disaksikan bapa Puteri, Sulaiman Abd. Rahman. Pada majlis itu, Puteri menerima mas kahwin RM300 beserta lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.
Oktovia Manrose & Mohamad Khairul Esfan
21 Disember 2021
Magica Quil City Mall, Kuala Lumpur

Pelakon Oktovia Manrose sah bergelar isteri kepada bekas pemain bola sepak Melaka United, Mohamad Khairul Esfan Mdisa dengan sekali lafaz. Oktovia atau nama penuhnya Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman dinikahkan sendiri oleh bapa kandungnya iaitu Wan Syahman Wan Yunus atau Iwan Dangdut serta disaksikan jurunikah, Ustaz Mohamad Fairuz Saderi. Pasangan sama cantik sama padan ini dilihat menggayakan busana rona putih sentuhan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail. Khairul Esfan turut menyerahkan mas kahwin sebanyak RM80 dengan sebentuk cincin berlian berserta hantaran lima dulang berbalas tiga daripada pihak pengantin lelaki, namun jumlah wang hantaran dirahsiakan.
Uyaina Arshad & Raja Syahiran
21 Disember 2021
Colony Star Boulevard, KLCC, Kuala Lumpur

Pengacara Uyaina Arshad sah bergelar isteri kepada penyanyi, Raja Syahiran hanya dengan sekali lafaz. Pasangan itu dinikahkan oleh abang kandung, Uyaina iaitu Mohd Attaful Uzair Arshad bersaksikan Pendaftar Penikahan Perceraian dan Rujuk Orang Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Perseketuan, Mohd. Abd Nasir Abdullah serta dua saksi. Raja Syahiran menyerahkan mas kahwin berupa sebentuk cincin dan gelang tangan emas buat Uyaina. Tiada pertukaran dulang hantaran antara kedua belah pihak dan pasangan ini memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran di atas persetujuan kedua belah keluarga. Terdahulu, pasangan selebriti ini mula berkenalan pada awal 2019 di sebuah program terbitan Astro dan Uyaina menerima rombangan merisik daripada keluarga Syahiran pada Julai 2019.
Datuk Nora Ariffin & Dr Rushdi Ramli
Tidak dinyatakan tempat dan tarikh pernikahan

Penyanyi popular Datuk Nora Ariffin, 48, sah bergelar isteri kepada Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya, Dr. Rushdi Ramli,55, yang juga rakan baik kepada Allahyarham suaminya, Johan Nawawi. Berita gembira ini dikongsikan sendiri oleh Nora menerusi hantaran di laman Instagramnya. Tambahnya, dia tidak berniat untuk merahsiakan perkahwinan keduanya ini sebaliknya sekadar melaksanakan perkara wajib mengikut tuntutan agama saja.