DUA kawasan yang terjejas teruk dilanda bencana banjir iaitu Kampung Bukit Changgang di Banting dan daerah Bentong, Pahang, dijadikan ‘kawasan angkat’ kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk misi bantuan pasca banjir.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, sejumlah 600 kakitangan KPLB dan agensi di bawahnya akan dihantar sebagai sukarelawan untuk misi bantuan khas tersebut.

“Kementerian Pembangunan Luar Bandar mengambil tanggungjawab itu dengan menjadikan kawasan Kampung Bukit Changgang di daerah Banting dan juga daerah Bentong di Pahang sebagai Kawasan Angkat untuk kita salurkan bantuan pasca banjir.

Selain menghantar sukarelawan bagi membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir di kawasan berkenaan, kita juga ada menyediakan bantuan dalam bentuk barangan keperluan hidup.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan tinjauan pasca banjir di Kampung Batu Kapor dan Sungai Buloh, Mentakab hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

TINJAUAN pasca banjir Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Jelas Mahdzir, seramai 300 sukarelawan KPLB masing-masing akan ditempatkan di Bukit Changgang dan juga di daerah Bentong untuk membantu penduduk membersihkan kediaman yang terjejas termasuk membaiki pendawaian elektrik.

Ia diikuti proses penilaian kerosakan untuk kerja-kerja baik pulih.

KPLB tambah Mahdzir, memperuntukkan RM15 ribu untuk kerja-kerja baik pulih bagi setiap rumah penduduk yang layak menerima bantuan.

Manakala bantuan bina baharu rumah pula diperuntukkan sebanyak RM56 ribu bagi setiap rumah.

Sementara itu, Mahdzir memaklumkan pihak KPLB di seluruh negeri yang terjejas banjir, sedang mengumpul data termasuk penduduk Projek Perumahan Rakyat Termiskin, (PPRT), jalan kampung, jalan perhubungan desa, jambatan, longkang, surau, taska dan tabika serta ameniti sosial lain di bawah seliaan KPLB.

Data berkenaan katanya, amat penting dan perlu segera dilengkapkan bagi memudahkan pihak KPLB merangka pelan pembaikan dan juga peruntukan kos.

“Kalau boleh ada senarai segera dan memang layak, dia ada orang yang sahkan, contohnya di kampung itu ada tujuh rumah, kampung sana ada lapan rumah, itu yang kita nak senarai dan data itu.

Yang mana yang dah dapat data itu kita boleh laksanakan (bantuan baik pulih) RM15 ribu dan kalau Bina Baharu RM56 ribu. Butiran satu negara belum dapat lagi tetapi ada daerah yang kita dah dapat seperti Hulu Langat sebahagiannya kita dah dapat.”

Dalam lawatan kerja pasca banjir ke Pahang ini, Mahdzir turut menyampaikan bantuan pasca banjir 2,000 selimut toto dan 2,000 dapur gas sumbangan KPLB kepada mangsa banjir di negeri Pahang.

Beliau juga menyerahkan pelbagai barangan keperluan hidup seperti lampin, minyak masak, tuala wanita, air mineral, beras, sejadah dan telekung, sumbangan daripada UMNO Bahagian Padang Terap.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegra