ANDA pernah saksikan orang yang kena rasuk? Apabila bercakap, suara asal orang itu berubah, bahkan kedengaran menggerunkan. Cuba baca dua kisah di bawah ini yang diceritakan sendiri oleh mereka yang mengalaminya kepada kami dahulu.

KISAH PERTAMA – Suatu senja pada Ogos tahun 2009, ketika penduduk Kampung Medan di Sijangkang, Selangor sedang menunaikan solat Maghrib, kedengaran jeritan yang kuat dari rumah Zabaidah.

Zabaidah yang berada di dapur terus berlari ke depan, dan mendapati suaminya, Shahril menjerit-jerit, mengatakan dia tidak berpuas hati dengan kemalangan yang menimpa bapanya.

Zabaidah yang berasa hairan menepuk bahu suaminya beberapa kali. Shahril terjaga dan terpinga-pinga. Dia tidak tahu apa yang terjadi ketika tidur. Zabaidah menganggap suaminya hanya bermimpi, mungkin kerana terlalu penat seharian memandu kontena ke Melaka, semalam.

Zabaidah kembali ke dapur untuk menyambung kerjanya. Ketika sedang sibuk menyediakan makan malam, tiba-tiba kedengaran suara suaminya mendayu-dayu membaca surah Yasin. Shahril tidak menghabiskan bacaannya, sebaliknya hanya mengulanginya ayat-ayat awal surah tersebut semula.

Zabaidah terus mendapatkan suaminya itu dan menepuk badan Shahril sekali lagi. Suaminya itu seakan baru tersedar. Zabaidah menceritakan apa yang terjadi sebentar tadi, tetapi Shahril menafikannya.

Bimbang dengan kelakuan aneh itu, keesokan harinya Zabaidah membawa Shahril menemui pawang Wak Amir. Setibanya mereka disana, Shahril tiba-tiba saja mengantuk. Setelah beberapa kali menguap, dia terus melelapkan mata. Selepas itu, Shahril mula meracau. Sama seperti semalam, dia asyik mengatakan yang dia tidak berpuas hati.

Pawang Wak Amir pun membaca jampi serapah. Tidak lama kemudian, Shahril sedar semula, terjaga dari tidur dan tidak lagi meracau. Menurut pawang Wak Amir, Shahril dirasuk hantu dan telah pun berjaya dikeluarkan.

Pulang ke rumah, Zabaidah sangka semua sudah selesai. Tapi keesokan harinya, Sharil sekali lagi dirasuk. Kali ini suaminya itu menangis teresak-esak macam budak kecil.

Tak tunggu lama, kali ini Zabaidah keluar dan meminta pertolongan Haji Sani yang juga pandai merawat. Melihat Zabaidah dan Haji Sani tercegat di depan pintu rumah, Shahril sekali lagi meracau dengan mengatakan dia tidak puas hati dan ingin membuat penyelesaian.

Haji Sani pun bertanya kepada ‘benda’ yang merasuki badan Shahril itu, apakah sebenarnya yang berlaku sehingga dia mengganggu Shahril?

Rupa-rupanya Shahril telah melanggar seorang ‘pak cik’ yang sedang melintas jalan di Rembau, Negeri Sembilan. ‘Benda’ berkenaan meminta Shahril membuat tahlil dan bubur merah untuk diberikan kepada orang kampung.

Setelah dirawat Haji Sani, Shahril sedar semula. Dia dinasihatkan untuk menurut kemahuan ‘makhuk’ itu bagi mengelakkan kejadian rasuk itu berulang lagi.

KISAH KEDUA – Pada penghujung 2007, Iskandar dan abangnya, Zainal ditugaskan oleh bapa mereka untuk memantau pekerja-pekerja kontrak di kawasan pendalaman Sungai Siput, Perak selama tiga bulan.

Mereka akan tinggal bersama-sama pekerja-pekerja itu di sebuah rumah supaya dapat memantau kerja-kerja yang dijalankan di sana.

Setibanya di sana, mereka mendapati rumah tempat tinggal mereka dikelilingi pokok kelapa sawit. Tiada sebuah rumah pun yang berdekatan, malah kedai paling dekat dengan tempat mereka pun berjarak lapan kilometer.

Iskandar agak gelisah untuk tinggal di kawasan terpencil itu. Tetapi kerana tugas yang diamanahkan bapanya, dia kuatkan semangat.

Pada petang hari ketiga mereka di situ, Iskandar mendengar dentuman kuat di bahagian belakang dapur. Bila dituju ke arah bunyi tersebut, dia melihat Zainal sedang menghantukkan kepalanya ke dinding.

Iskandar menghalang abangnya daripada terus berbuat begitu. Tambah membuatnya risau apabila kepala zainal sudah berlumuran darah. Tetapi abangnya itu masih terus menghantukkan kepalanya ke dinding.

Ketika sedang menghalang perbuatan abangnya itu, Iskandar mendapati mata abangnya merah padam, bagaikan abangnya dikuasai sesuatu yang tidak dapat dilihat mata kasar. Iskandar terus memanggil Sulhan, salah seorang pekerja kontrak di situ.

Memandangkan Sulhan seorang yang warak, Iskandar meminta bantuan Sulhan untuk menyedarkan Zainal. Mereka berdua membaringkan Zainal walaupun zainal meronta-ronta dengan kuat.

Setelah itu, Sulhan memicit ibu jari kaki Zainal dan mula kedengaran Zainal memarahi Sulhan dengan suara yang garau. Hasil ‘soal jawab’ antara mereka, Sulhan memberitahu Iskandar bahawa abangnya itu telah dirasuk hantu Jawa.

‘Hantu’ itu telah mengekori abangnya semenjak abangnya menuntut di sebuah sekolah pondok di Jawa Sumatera, beberapa tahun sebelum itu. Hantu tersebut amat menyukai abangnya dan ingin membawa Zainal pulang ke sana.

Sulhan berjaya mengeluarkan hantu berkenaan daripada terus merasuk Zainal. Keadaan dalam rumah itu kembali tenang. Abangnya tidak lagi dirasuk.

Kejadian itu adalah pengalaman pertama bagi Iskandar berdepan dengan kerasukan. Dia yang ketika itu masih mentah dalam dunia mistik ini tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang merasuk abangnya itu? Bagaimana ‘benda’ itu boleh masuk ke dalam badan manusia?

Setelah membaca dua kisah di atas, mungkin ada yang berpendapat kerasukan yang dialami dua responden tersebut hanyalah pada tahap biasa-biasa saja. Mungkin ada kerasukan yang lebih teruk dan berulang-ulang kali berlaku dalam konteks kes begini.

Anda rasa, apa sebenarnya entiti yang boleh masuk dan merasuki tubuh manusia ini? Hantu? Bunian? Jin? Syaitan?

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare