SETIAP pasangan yang membina mahligai perkahwinan inginkan bahtera yang dibina kekal bersama hingga akhir hayat.

Tiada pasangan yang mahukan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta berkecai sekelip mata dan akhirnya terpaksa berpisah.

Namun, siapalah kita mahu melawan takdir yang telah ditentukan oleh Tuhan.

Tahun 2021 yang penuh dugaan dan cabaran ini turut terselit kisah duka perpisahan antara beberapa selebriti tanah air. URTV menyingkap kembali senarai enam pasangan artis yang menjadi sorotan dek kisah penceraian mereka.

Nadia Brian & Muizz Nasruddin
9 November 2019 – 2 April 2021

Pelakon cantik Nadia Brian mengesahkan telah bercerai talak satu dengan Muizz Nasruddin. Menurut Nadia, penceraian tersebut dilakukan di luar mahkamah seperti di minta oleh Muizz. Isu perkahwinan mereka hangat diperkatakan orang ramai apabila Muizz mendedahkan bahawa Nadia berlaku curang terhadapnya. Namun, tuduhan itu dinafikan oleh Nadia dan menyifatkan dakwaan tersebut adalah fitnah semata-mata. Hasil perkahwinan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Zarina Anjoulie & Eilyas Azhar
17 Julai 2020 – Mei 2021

Pelakon Zarina Anjoulie bergelar janda kembali selepas bercerai kali kedua dengan bekas suaminya, Eilyas Azhar. Berita duka itu dikongsi sendiri oleh Zarina menerusi sebuah hantaran di akaun Instagramnya. Sebelum ini, Zarina dan Eilyas atau Yas pernah bercerai pada Februari lalu namun kembali rujuk semula sebulan kemudian.

Aman Ra & Natiqah Rahmat
Tarikh perkahwinan tidak dinyatakan – 5 Ogos 2021

Isteri kepada penyanyi rap, Natiqah Rahmat memaklumkan sudah bercerai dengan Aman Ra apabila lafaz cerai secara taklik yang dibuat pada 29 Mac 2020 akhirnya disahkan mahkamah pada 5 Ogos lalu. Lebih memeranjatkan lagi, Natiqah pernah mendakwa bahawa Aman Ra atau nama sebenarnya Aman Jamaluddin, telah melafaz cerai sebanyak empat kali. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Ratu Raiqa, 3 dan Tuah Khalifa, 2 tahun.

Fizi Ali & Shakilla Khoriri
18 Februari 2018 – 15 December 2021

Penyampai radio Suria FM, Fizi Ali menggemparkan orang ramai apabila memaklumkan bahawa sudah berpisah dengan isterinya iaitu pelakon Shakilla Khoriri setelah tiga tahun mendirikan rumah tangga. Fizi memaklumkan berita duka itu melalui sebuah hantaran yang di muatnaik di laman Instagram miliknya. Walaupun sudah berpisah, mereka berjanji untuk membesarkan anak perempuan mereka, Ameena Sofia,2, dengan penuh kasih sayang.

Yasmin Hani & Sha’arin Razali Wong
2011- Disember 2021

Pelakon dan pengacara terkenal, Yasmin Hani mengesahkan bahawa sudah bercerai dengan suami, Sha’arin Razali Wong setelah mendirikan rumah tangga selama 10 tahun. Berita duka itu dikongsi sendiri oleh Yasmin melalui sebuah hantaran di laman Instagramnya. Yasmin turut memaklumkan bahawa dia dan bekas suami bersetuju untuk membesarkan anak-anak walaupun sudah berpisah. Hasil perkahwinan mereka ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Noah Ismail Wong,8, dan Eissa Elzander Wong,5.

Fiza Elite & Aizat Al Jefri
Disember 2016- 22 Julai 2020

Setelah sekian lama berahsia, bekas anggota kumpulan Elite, Fiza Halim mengesahkan sudah kembali menjanda sejak 22 Julai tahun lalu dan baharu kini dia terbuka untuk berkongsi status perkahwinannya yang menjadi tanda tanya banyak pihak. Perkahwinan Fiza dengan juruterbang berstatus duda dua anak iaitu Aizat Al Jefri kecundang di tengah jalan selepas empat tahun hidup bersama. Malah, Fiza turut berkongsi bahawa dirinya dicerai dengan talak satu menerusi aplikasi WhatsApp. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Siti Aleena Adra yang kini berusia tiga tahun.