TAHUN 2021 bakal melabuhkan tirainya, pebagai cerita pahit dan manis yang berlaku dalam kalangan anak seni sepanjang tahun ini. Antaranya apabila ramai selebriti wanita sudah mula berhijab dan memilih untuk tampil sopan.

Pastinya, perubahan yang cukup baik itu menggembirakan ramai pihak terutama peminat yang selama ini menjadi tulang belakang kerjaya seni artis kesayangan mereka ini.

Nak tahu siapa selebriti itu? Jom! Baca rangkuman yang dah pun URTV senaraikan di bawah ini!

Fazura


Kerap menggayakan hijab dalam setiap gambar yang dimuat naik di media sosial, pelakon terkenal, Fazura atau nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin, 38, mengakui sudah berhijab sepenuhnya.

Perubahan penampilan Fazura sudah semestinya menggembirakan hati suaminya, Fattah Amin serta para peminat dan dia tidak mahu penghijrahannya itu disensasikan.

Izara Aisyah

Ibu kepada Irisa Alaia iaitu Izara Aishah, 29, memuat naik gambar berhijab dengan sempurna tanpa sebarang kapsyen dan menutup ruangan di Instagram sekali menarik perhatian ramai terutamanya dalam kalangan peminat.

Bagaimanapun, Izara memilih untuk mengunci mulut dan enggan mengulas lanjut mengenai perubahan dirinya dan berterima kasih atas doa dan sokongan daripada netizen.

Aishah Azman

Sudah lama menyimpan hasrat untuk bertudung, pelakon Aishah Azman atau Nor Aishah Afika Azman Shah, 25, akhirnya bertekad melakukan penghijrahan dengan mengenakan imej berhijab dan bertindak memadam semua foto seksi di laman sosial.

Pelakon drama siri Bukan Cinta Aku itu meluahkan rasa syukur atas penghijrahan yang dilakukannya dan menerima pujian daripada netizen di laman sosial.

Siti Elizad

Bermula dengan mengenakan shawl yang dibeli oleh suaminya, pelakon Siti Elizad, 37, terbuka hati dan bernekad untuk berubah ke arah yang lebih baik dengan mengenakan hijab dan memilih awal Muharam sebagai tarikh penghijrahannya.

Farah Nabilah

Pelakon Farah Nabilah, 29, telah menarik perhatian peminat apabila memuat naik satu video bersama anak lelakinya di laman Instagram dengan imej bertudung litup.

Dia mengakui sudah berhijrah dan mengenakan hijab sepenuhnya. Memilih untuk tidak mengulas mengenai hijrahnya itu, Farah menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan.

Betty Rahmad

Kongsi Betty Rahmad atau nama sebenar Norsha Rahmad, 40, hatinya mula terdetik, untuk mengubah penampilan setelah melihat anak lelakinya yang berusia dua tahun lancar mengaji Iqra. Sedangkan dirinya yang sudah berusia masih merangkak untuk membaca Al-Quran.

Malah, pemergian rakan artis Allahyarham Siti Sarah Raissuddin turut menjadi asbab buat pelakon itu melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Zizi Kirana

Penampilan baharu Zizi Kirana atau Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, 36, yang mengenakan hijab telah mendapat maklum balas positif dalam kalangan keluarga, peminat dan rakan-rakan.

Rata-rata peminat meluahkan rasa kagum dan memuji dengan penghijrahan yang dilakukan oleh penyanyi lagu Eh! itu dan mengharapkan doa daripada orang ramai agar dirinya sentiasa kuat dan bersemangat.

Mas Idayu

Perkongsian beberapa gambar sedang melakukan aktiviti harian di Instagram dengan imej berhijab oleh penyanyi dangdut popular iaitu Mas Idayu, 49, telah mencuri tumpuan para peminat.

Ramai dalam kalangan pengikutnya di media sosial melontarkan komen positif dan memuji penampilannya serta mendoakan penyanyi itu terus istiqamah untuk berhijrah.

Aprena Manrose

Pelakon cantik, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 28, sering memuat naik gambar di Instagram dengan imej bertudung dan mengakui mula melatih diri memakai hijab sewaktu bulan puasa yang lalu

Namun, dia enggan mengulas lanjut tentang penampilan baharunya itu dan hanya mengharapkan doa yang baik-baik daripada peminat.

Nana Mahazan

Penyanyi dan pengacara kelahiran Johor, Nana Mahazan atau Nurul Hana Che Mahazan, 38, tular dengan imej terbaharunya menerusi sebuah video berdurasi 30 minit yang dimuat naik di Instagramnya.

Menerusi video tersebut, penampilan Nana yang bertudung sedang mempromosikan produknya bersama suami ternyata meraih tumpuan para peminat. Pun begitu, Nana belum bersedia untuk berkongsi dengan lebih mendalam mengenai perubahannya.

Oktovia Manrose

Dalam diam, pelakon manis, Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman, 30, sudah berhijab sejak Aidilfitri dan sebolehnya tidak mahu menghebohkan perkara tersebut kepada umum.

Menurut Oktovia, dia memilih untuk tidak mengulas lanjut berkaitan berita baik ini kerana dia berhijrah kerana Allah dan cukup hanya mengesahkan bahawa dia sudah bertudung.

Elyana

Mengakui menerima banyak tudung yang dihadiahkan oleh Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, penyanyi Erneelya Elyana Emrizal, 34, mengambil keputusan untuk berhijab dan menutup aurat sejak pertengahan Jun lalu.

Perkongsian gambarnya di Instagram bersama anak-anak dengan imej bertudung mendapat pujian peminat yang rata-rata menyukai penampilan baharunya itu dan mendoakan agar kekal istiqamah.

Fieya Julia

Tindakan penyanyi Fieya Julia atau nama sebenar Nur Syafiyah Sejali, 21, memadam ke semua gambar yang mendedahkan aurat di laman sosial menimbulkan tanda tanya para peminat.

Rupa-rupanya, dia mahu mengubah penampilannya dengan imej menutup aurat atas kerelaan hati demi menjadi insan yang lebih baik. Siapa sangka keputusannya itu ternyata menerima respon positif daripada peminat.

Vicha Saywho

Selain asbab dirinya pernah jatuh sakit, pelawak Vicha Saywho atau nama sebenar Refika Novianti Faturohman, 33, berkata pemergian mengejut Allahyarham Siti Sarah Raissuddin juga menguatkan hatinya untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Malah, Vicha mengakui berasa malu dengan anak-anaknya apabila menyedari hanya dirinya yang masih belum berhijab berbanding ahli keluarga yang lain.

Anzalna Nasir

Pelakon Anzalna Nasir, 33, memberi kejutan kepada suami tercinta, Hanif Zaki sempena ulang tahun kelahiran yang ke-33 dengan menunjukkan imej terbaharunya yang lengkap memakai hijab.

Kejutan istimewa itu didedahkan pada hari Jumaat yang penuh barakah. Anzalna turut berkongsi momen tersebut di Instagram dan ramai membanjiri ruangan komen laman sosialnya yang memuji dirinya semakin jelita biarpun sudah bertudung.