Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein GAMBAR: Jabatan Penerangan

KELANTAN dan Sarawak yang ketika ini masih berada dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) akhirnya akan beralih ke Fasa 4 mulai Isnin ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hishammuddin, peralihan fasa bagi Kelantan dan Sarawak itu sekali gus bermakna kesemua negeri telah pun beralih ke Fasa 4 PPN.

8 November lalu, lima negeri iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah telah diumumkan mula beralih ke Fasa 4 susulan keadaan semasa pandemik COVID-19 di negeri-negeri berkenaan.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus mengurus situasi pandemik di negeri masing-masing terutama demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan di bawah PPN.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 4 PPN adalah sama dengan sebelum ini.

“Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Lima negeri beralih ke Fasa 4 PPN mulai Isnin – Hishammuddin

Pada masa sama, Hishammuddin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berasa terlalu selesa dengan perkembangan semasa.

Hal demikian, kata beliau, COVID-19 masih merupakan satu ancaman kepada keselamatan dan kesihatan terutama dengan penularan varian Omicron.

“Semua pihak harus terus mematuhi SOP yang ditetapkan dengan penuh disiplin dan bertanggungjawab.

“Pakai pelitup muka, amal penjarakan fizikal, dapatkan dos penggalak sekiranya layak, lakukan ujian pengesanan COVID-19 secara berkala dan amalkan TRIIS dengan sebaik mungkin,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram