Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempat meluangkan masa melawat mangsa banjir di SJKC Mentakab, Pahang, baru-baru ini. - GAMBAR: Bernama

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mangsa banjir di seluruh negara yang terjejas boleh mendapat bantuan tunai sehingga RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR).

Perdana Menteri berkata, pelbagai bantuan itu merupakan usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Malah, katanya bagi mereka yang mengalami kemusnahan rumah sama sekali, jumlah bantuan adalah jauh lebih tinggi dan boleh mencecah RM61,000.

“Dengan usaha ini, pencarum boleh mengekalkan simpanan mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar 5 peratus sekali gus mereka boleh merancang masa depan selepas bersara,” katanya

“Saya berharap dengan pemberian ini sedikit sebanyak dapat memberi Sinar Baharu kepada Keluarga Malaysia,” katanya ketika menyampaikan perutusan sambutan Tahun Baharu 2022 yang dipancarkan ke seluruh negara.

Ismail Sabri pada masa sama turut mengumumkan bantuan wang tunai RM2,500 untuk pembelian barangan keperluan serta bantuan membina rumah baharu sehingga RM56,000.

“Kerajaan juga akan menyediakan bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja-kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan yang tidak serius.

“Bagaimanapun, bagi kerosakan serius, kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000.

“Manakala, bagi rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, kerajaan akan membantu sehingga kos RM56,000 setiap unit rumah dibina baru.

“Memandangkan banyak sukarelawan serta NGO telah memberikan sumbangan peralatan kepada mangsa dan untuk mengelakkan pertindihan, kerajaan bersetuju untuk memberikan wang tunai sebanyak RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing-masing.

“Pemberian ini adalah khas untuk mereka yang mengalami kerosakan barangan akibat banjir,” katanya.

Dalam perutusan tersebut, Ismail Sabri turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan kehilangan 48 nyawa yang menjadi korban banjir.

Namun, di sebalik tragedi dan kesedihan, beliau akui musibah banjir tersebut telah menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia iaitu kebersamaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan pangkat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi keselamatan, kakitangan Kerajaan, NGO, sukarelawan serta individu-individu yang bertungkus lumus membantu dan menyelaraskan misi bantuan semasa banjir serta melakukan kerja-kerja pemulihan pasca banjir.

“Begitu juga bantuan dan sumbangan daripada sektor korporat termasuk GLC dan GLIC.”Anda semua adalah wira-wira yang tidak didendang. Syabas dan tahniah saya ucapkan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram