PERNAHKAH anda mendengar tentang kayu tas? Dalam kehidupan masyarakat nusantara, terdapat kepercayaan tentang kayu tas, sejenis tumbuhan yang dianggap mempunyai kuasa magis untuk menundukkan haiwan buas seperti harimau.

Kayu tas atau yang juga dikenali sebagai kayu hujan panas ini dikatakan mempunyai ‘keajaiban’ tersendiri. Selain berupaya untuk menundukkan haiwan, ada juga yang menggunakannya sebagai pemanis wajah dan pendinding daripada gangguan makhluk halus.

Jika menonton persembahan sarkas, kita akan dapat melihat beberapa penjaga haiwan menggunakan cemeti atau sebatang kayu panjang untuk mengendalikan haiwan seperti harimau dan gajah. Dikatakan peralatan tersebut diperbuat daripada kayu tas yang dikatakan mampu membuatkan haiwan menjadi kurang agresif.

Bukan sahaja batang atau dahan pokok tersebut yang mempunyai ‘kuasa ajaib’, malah daunnya juga dikatakan mempunyai fungsi tersendiri. Apabila daunnya dibakar, asapnya dikatakan mampu menghalau anasir jahat daripada mendekati seseorang.

Masyarakat Orang Asli juga percaya kayu tas boleh memindahkan hujan ke tempat lain. Caranya ialah dengan memusingkan kayu pokok tersebut sebanyak tiga kali. Selain itu, air rebusan akarnya pula dikatakan berupaya mengembalikan kesegaran badan serta menguatkan tenaga batin selain boleh merawat penyakit uluran dan sakit perut.

Begitulah hebatnya penangan kayu tas dalam kehidupan masyarakat di Nusantara ini. Persoalannya, sejauh manakah kayu ini mampu berfungsi seperti kepercayaan sesetengah orang?

Kayu tas.

Berdasarkan maklumat daripada Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), kayu tas yang juga dikenali sebagai kayu penunduk, hujan panas, Limpanas atau God Mountain Stick ini merupakan tumbuhan daripada spesies Euphorbiaceae, iaitu sejenis kayu yang bergetah ketika segar.

Kajian mendapati kebanyakan kayu jenis ini tumbuh secara semula jadi dan banyak ditemui di Sarawak, Sabah dan Kalimantan. Selain kepulauan Borneo, kayu jenis ini juga boleh ditemui di hutan Semenanjung Malaysia seperti di Perak, Kelantan dan Pahang. Bagaimanapun, populasi tumbuhan ini tidak banyak dan sukar untuk mendapatkannya kerana ia adalah spesies yang dilindungi.

Berdasarkan pemerhatian, terdapat dua jenis kayu tas iaitu kayu tas jantan dan kayu tas betina. Perbezaan kayu tas jenis jantan dan betina adalah dari warna kulitnya. Lazimnya kayu tas jantan berwarna kehitaman manakala kayu tas betina berwarna putih dan cerah.

Keajaiban kayu tas ini dikatakan terletak pada baunya. Kayu tas jantan memiliki bau yang lebih kurang sama di semua tempat, namun bau kayu tas betina adalah berbeza. Kayu tas betina dari Sabah dan Sarawak mempunyai aroma yang lebih wangi iaitu semacam bau rempah, manakala bau kayu tas betina dari Semenanjung agak busuk dan hancing.

Bagaimanapun, kayu tas betina Semenanjung dikatakan mempunyai khasiat yang lebih tinggi. Kebanyakan pawang atau bomoh tempatan akan  menggunakan khasiat kayu tas ini dalam bidang perubatan tradisional. 

Kayu tas dijadikan pelbagai perhiasan yang boleh dipakai ke mana saja oleh pemiliknya.

Cara untuk mengenali kayu tas ialah dengan membakar kulit pokok kayu ini. Apabila dibakar, ia akan mengeluarkan asap berbau wangi seperti bau setanggi. Bau inilah yang dikatakan boleh menghalau binatang buas atau haiwan berbisa, serta ditakuti oleh makhluk halus.

Dari perspektif mistik, keupayaan kayu tas ini sukar dibuktikan. Tetapi sehingga kini, masih ramai di kalangan masyarakat di Nusantara yang mempercayai kayu ini mempunyai kesaktiannya yang tersendiri.

Kayu tas sehingga kini mendapat permintaan.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen