TAHUN 2021, kita dikejutkan dengan kehilangan permata seni tanah air yang tiada galang ganti. Kehilangan bintang hebat sudah semestinya memberi impak yang mendalam terhadap industri hiburan Malaysia.
URTV ingin kongsikan 16 selebriti yang telah pergi meninggalkan kita buat selamanya.
Datuk Jamali Shadat

Pelakon veteren popular, Datuk Jamali Shadat yang dikenali dengan peranannya sebagai Atan dan Atok, dilahirkan di Bukit Kapar, Klang pada 19 september 1941.
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 79 tahun di kediamannya di kampung Sungai Pinang Pulau Indah, Pelabuhan Klang pada 3 Februari, pukul 8.15 pagi akibat darah tinggi dan kencing manis.
Noryati Taib

Terkenal dengan panggilan ‘Makcik Petir’, pelakon Noryati Taib telah meninggal dunia pada 7 April lalu. Sebelum ini, arwah pernah dimasukkan ke hospital kerana mengalami jangkitan kuman paru-paru malah kakinya terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis
Pada 3 Februari 2021, Allahyarham disahkan positif Covid-19 dan telah sembuh daripada virus tersebut. Arwah yang dilahirkan pada 12 Januari 1958 meninggal dunia pada usia 63 tahun.
Abu Bakar Omar

Pelakon veteren popular, Abu Bakar Omar meninggal dunia di hospital Alor Setar, Kedah pada 16 April akibat masalah jantung pada usia 72 tahun.
Ramasundran

Pelakon dan pelawak R. Ramasundran yang popular menerusi watak Rajoo dalam sitkom Spanar Jaya telah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 26 Mei. Mendiang yang mempunyai sejarah penyakit jantung di bawa ke bahagian kecemasan selepas mengalami alahan ubat dan bengkak kaki sekitar pukul 12 tengah malam. Sejam selepas itu, doktor mengesahkan mendiang telah meninggal dunia di usia 57 tahun.
Julie Faridah

Pelakon era 1960-an, Toh Puan Julie Faridah @ Joria Basir telah meninggal dunia pada 30 Mei selepas dua minggu dimasukkan ke Hospital Pantai Ipoh, Perak. Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia akibat jangkitan virus. Allahyarham yang dilahirkan pada 25 November 1944 meninggal dunia di usia 76 tahun.
Tony Spider

Bekas pemain bass kumpulan Spider, Tony Iskandar ditemui meninggal dunia di atas sofa studio rakaman Luncai Emas milik Datuk M Nasir di Sungai Buloh pada 30 Jun oleh rakannya yang juga gitaris kumpulan Spider, Nafie.
Allahyarham yang dilahirkan pada 7 Julai 1971 meninggal dunia pada usia 49 tahun yang akibat menghidap penyakit kencing manis kronik.
Azizan Rabbani

Pada 7 Julai, bekas ahli kumpulan nasyid Rabbani, Azizan Halid meninggal dunia di usia 46 tahun di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Allahyarham meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba dan pihak hospital mengesahkan punca kematian arwah disebabkan positif Covid-19.
Benjy

Benjy atau nama sebenar Khaeryll Benjamin Ibrahim menghembuskan nafas terakhir pada 11 Julai di Hospital Besar Royal Prima di Medan Indonesia akibat penyakit asma. Anak lelaki tunggal pelakon terkenal, Allahyarham Azean Irdawaty itu dilahirkan pada 17 September 1978 dan meninggal dunia pada usia 42 tahun.
Tawil

Pelakon filem Prebet Lapok, Tawil atau nama sebenar Abu Bakar Ahmad meninggal dunia di kediamannya, PPR Sri Aman, Kepong pada 23 Julai lalu. Allahyarham mengadu sakit dada secara tiba-tiba dan kemudiannya mengalami masalah sesak nafas. Arwah Tawil menghembuskan nafas terakhinya pada usia 69 tahun.
Anjang Aki

Pelakon Anjang Aki atau nama sebenar Datuk Baharuddin Omar, meninggal dunia pada 24 Julai di kediamannya di Shah Alam selepas sesak nafas.
Allahyarham yang dilahirkan pada 12 Julai 1936 sudah lama menderita penyakit pembuluh darah bengkak dan meninggal dunia pada usia 85 tahun.
Siti Sarah Raissuddin

Pada 9 Ogos, pukul 5:13 pagi, penyanyi terkenal Siti Sarah Raissuddin menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia selepas ditidurkan pada 4 Ogos 2021.
Allahyarham Siti Sarah disahkan positif Covid-19 sejak 25 Julai selepas pembantu rumah mereka dijangkiti wabak tersebut dan pada ketika itu, arwah sedang sarat hamil anak keempat. Pada pagi 4 Ogos, arwah Siti Sarah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi selepas selepas paras oksigen semakin tidak stabil.
Pada 6 ogos, Allahyarham menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi yang berusia lapan bulan. Siti Sarah yang dilahirkan pada 15 September 1984 meninggal dunia di usia 36 tahun.
Mimi Loma

Penyanyi dan pelakon era 1960-an, Mimi Loma atau nama sebenar Siti Aminah Ismail meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di PPR Seri Semarak pada 21 Ogos. Difahamkan, Allahyarham yang berusia 75 tahun ketika itu sudah sekian lama dalam keadaan uzur. Allahyarham merupakan adik kepada Biduanita Saloma dan Marini serta adik ipar kepada Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee.
Norazmi Mohd Abdullah

Vokalis baharu kumpulan Samudera, Norazmi Mohd Abdullah telah meninggal dunia pada 11 September kira-kira pukul 10.12 malam di Hospital Sungai Buloh. Arwah Norazmi dimasukkan ke hospital kerana disahkan positif Covid-19 tahap lima dan juga mengalami gejala sesak nafas. Allahyarham meninggal dunia pada usia 48 tahun.
Mamat Khalid

Pengarah filem terkenal, Mamat Khalid atau nama sebenar Mohamad Mohamad Khalid meninggal dunia pada 24 Oktober, pukul 12:30 tengah malam di Hospital Slim River, Perak.
Arwah yang dipercayai pengsan di kafe miliknya, Sarang Art Hub, Tanjung Malim, Perak dibawa ke hospital dan punca kematian Allahyarham disebabkan serangan jantung. Arwah Mamat Khalid yang dilahirkan pada 6 April 1963 meninggal dunia pada usia 58 tahun.
Fetty Dzul

Allahyarham Fetty Dzul dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi sejak 7 November selepas didapati positif Covid-19 tahap lima. Pada 9 November, Fetty dimaklumkan kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan.
Keadaan kesihatan arwah semakin merosot apabila buah pinggang dan paru-parunya gagal berfungsi. Allahyarham meninggal dunia di Hospital Selayang pada 18 November, pukul 7.30 pagi pada usia 63 tahun.
Gmie Screen

Vokalis kumpulan Screen, Gmie meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 10 Disember akibat penyakit buah pinggang berlubang.
Allahyarham sudah di uji dengan masalah buah pinggang selama dua tahun dan kesihatannya semakin membimbangkan sejak Oktober lalu. Arwah yang dilahirkan pada 11 September 1971 meninggal dunia pada usia 50 tahun.