PADA 28 Ogos 1915 sewaktu zaman Perang Dunia Pertama meletus, sebuah rejimen tentera British hilang secara tiba-tiba ketika berperang dengan tentera Turki di Teluk Sulva.

Salah seorang saksi kejadian, seorang tentera dari New Zealand memberitahu, semasa kejadian itu berlaku keadaan langit tiba-tiba gelap menyelubungi kawasan Hill 60 dan melenyapkan seramai 4,000 orang tentera British.

Menurutnya, ketika kejadian aneh itu, ada awan luas yang seakan turun dan kemudian naik semula ke langit bergerak menuju ke arah Bulgaria. Yang peliknya, selepas kejadian, tiada kesan ­fizikal yang dapat dijumpai di kawasan tentera itu hilang.

Begitu juga kisah yang berlaku pada November 1930, apabila sekumpulan penduduk lenyap secara tiba-tiba di sebuah perkampungan berdekatan dengan Tasik Angikuni, Kanada.

Saksi kejadian iaitu seorang pemburu, Joe Labelle yang ketika itu melalui tempat tersebut merasakan sesuatu yang aneh telah berlaku di perkampungan tersebut. Ini kerana sebelum berlakunya kejadian itu, dia pernah melalui kampung tersebut dan selalu mendengar salakan anjing milik penduduk kampung itu. Tetapi selepas kejadian, kawasan itu menjadi sunyi seperti tidak berpenghuni lagi.

Misteri kehilangan penduduk kampung itu turut mendapat perhatian pihak polis. Namun, siasatan tidak menemui bukti apa punca penduduk di situ hilang, malah tiada unsur jenayah dalam kes tersebut. Bahkan, usaha mencari punca kehilangan penduduk itu masih menimbulkan misteri hingga sekarang.

Di Bennington, Vermont, Amerika Syarikat pula terkenal dengan tiga kes kehilangan manusia secara tiba-tiba.

Kejadian pertama berlaku pada tahun 1946. Seorang remaja perempuan, Paula Welden, 18, lenyap sewaktu bersiar-siar di Long Trail berdekatan gunung Glastenbury.

Sepasang kekasih menjadi saksi kehilangan Paula. Menurut mereka, sebelum kejadian aneh itu berlaku, mereka melihat Paula berjalan seorang diri kira-kira 100 kaki di hadapan mereka. Bagaimanapun, sekelip mata remaja perempuan itu lenyap secara tiba-tiba selepas melalui lorong yang berbatu-bata. Pasangan kekasih ini cuba mencari remaja itu, namun tidak menjumpai sebarang kesan.

Kes kedua pula berlaku pada 1 Disember 1949. Seorang lelaki bernama Tetford juga hilang sewaktu berada di dalam bas yang bergerak dari Bennington ke St. Albans, Vermont.

Ketika kejadian, terdapat 14 orang penumpang lain bersamanya. Saksi yang melihat kejadian itu berkata, sewaktu dalam perjalanan, Tetford sedang tidur. Anehnya apabila bas terbabit berhenti di salah sebuah perhentian, mereka tidak nampak lagi Tetford. Tempat duduknya kosong. Hanya barang-barang miliknya saja yang tinggal.

Kes ketiga pula berlaku pada pertengahan bulan Oktober 1950 di sebuah ladang di Bennington. Mangsa seorang kanak-kanak, Paul Jepson, 8, hilang sewaktu sedang bermain seorang diri berdekatan kandang khinzir rumahnya.

Sewaktu kejadian, ibu Jepson sedang sibuk memberi makanan pada ternakan di kandang. Selepas selesai, wanita itu terkejut anaknya tiba-tiba hilang di depan matanya. Misi menjejaki kanak-kanak malang itu bagaimanapun tidak membuahkan hasil dan menemui jalan buntu hingga ke hari ini.

Persoalannya, bagaimana mereka semua boleh hilang tanpa meninggalkan jejak? Ada juga yang mengaitkan teori kehilangan misteri ini dengan makhluk asing. Namun sehingga kini tidak ada fakta yang kukuh untuk mengaitkan kehilangan aneh mereka.

Ke mana mereka hilang? Siapa yang menculik atau membawa mereka? Semuanya menjadi misteri yang masih belum berjaya dirungkai.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen