“Memang kasut itu ada memberi bayangan untuk tidak digunakan lagi,”. Demikian kata penyanyi Nabila Razali ketika mengulas mengenai insiden terjatuh sewaktu membuat persembahan pada malam ambang tahun baharu di Menara Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Nabila, dia sendiri tidak menyangka berdepan dengan momen memalukan selepas dua tahun tidak muncul di khalayak ramai berikutan penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelantun lagu Peluang Kedua itu berkata, ketika kejadian dia ingin menyampaikan lagu Pematah Hati namun sebelum sampai ke pentas, dia jatuh terjelepok.

“Saya memang tak sangka langsung sebab ia berlaku secara spontan. Apa yang tak seronok sebab persembahan belum lagi bermula tapi saya dah jatuh terduduk di hadapan penonton.

“Saya bingkas bangun dan terus selamba menyanyi seperti tiada apa yang berlaku. Tak mengapalah, asalkan persembahan dapat diteruskan,” katanya kepada URTV.

Tambah Nabila lagi, dia mengalami bengkak dan terseliuh pada anggota badan kesan daripada insiden terjatuh itu.

“Saya alami sedikit bengkak dan terseliuh pada anggota badan. Tapi perasaan malu itu usah cakaplah…apa-apa pun saya kena buat selamba sehingga tak tahu nak ketawa atau menangis.

“Masuk 2022, saya kena tukar kasut baharu dan buang kasut tumit tinggi yang sudah lama dan membuatkan saya beberapa kali terjatuh.

“Teruja sebenarnya dapat buat persembahan di hadapan orang ramai termasuklah peminat walaupun diuji dengan insiden memalukan,” ujarnya.