Aziz Harun, penyanyi kelahiran Brunei Darussalam ini pernah menggegarkan industri hiburan dengan penampilan pertamanya dalam lagu Senyum sekaligus menaikkan namanya di Malaysia sebaris dengan penyanyi popular yang lain.

Alternate Records & Talents bekerjasama dengan Faithful Music yang merupakan label rasmi Aziz untuk melahirkan lagu terbarunya ini yang bertajuk Sayang Kau Tercipta.

Lagu ini merupakan hasil nukilan komposer dan lirik oleh gabungan nama besar seperti Ja’a, Romeo, Amir Masdi, Karim Karam dan Mike Chan.

Mengisahkan tentang perasaan seorang lelaki yang sangat menghargai pasangannya dan berjanji untuk tetap setia bersama hingga ke akhir hayat.

Menurut Aziz, genre lagu yang dibawakan kali ini amat berbeza dan pastinya membuatkan pendengar akan tertanya-tanya.

“Lirik lagunya memang sampai ke jiwa dan dapat pula tahu lagu ini dihasilkan oleh komposer terkenal dan berpengalaman iaitu Amir Masdi.

“Saya jadi lebih bersemangat untuk sampaikan lagu ini. Sudah tiba masanya untuk saya cuba genre lain supaya saya dapat tahu kelemahan dan kekuatan diri saya dalam membawa lagu-lagu yang pelbagai genre,”katanya.

Disebabkan pandemik Covid-19, maka proses rakaman dijalankan secara jarak jauh.

Situasi ini juga mengajar Aziz untuk melaburkan peralatan sesuai untuk menghasilkan sebuah album.

“Ini merupakan aset paling penting buat saya dan pada masa yang sama dapat belajar bagaimana menerbitkan album sendiri.

“Lagu Sayang Kau Tercipta juga merupakan comeback buat saya yang telah lama menyepi dalam bidang nyanyian dan secara tidak langsung mengubati rindu peminat,” ujarnya.

Muzik Video Sayang Kau Tercipta boleh di tonton di Youtube Alternate Records & Talents dan boleh didengari di semua pelantar digital bermula 24 Disember.