KAWASAN Segi Tiga Bermuda di barat laut lautan Atlantik sejak dahulu dikenali sebagai kawasan misteri yang banyak menghilangkan kapal dan kapal terbang yang melalui kawasan ini.

Selain Segi Tiga Bermuda, terdapat beberapa kawasan lain di seluruh dunia yang juga mempunyai keanehan yang sama. Salah satu daripadanya ialah Tasik Michigan di Amerika Syarikat.

Hamparan tasik berbahaya yang dikenali sebagai Segi Tiga Michigan ini bermula dari bandar Ludington, selatan Michigan ke Benton Harbor, lalu menyeberangi tasik ke Manitowoc, Wisconsin dan kembali semula ke Ludington. Sepanjang jajaran inilah dilaporkan banyak kejadian misteri yang tidak dapat dijelaskan sehingga ke hari ini. Antaranya…

Di kawasan segitiga berwarna merah itulah sering berlaku kapal-kapal yang melaluinya hilang secara misteri.

Pada bulan Ogos 1875, sebuah kapal ditemui terbalik dan hanyut ke darat berhampiran Grand Haven, Michigan. 10 orang krewnya hilang tanpa dapat dikesan. Manakala kapal Thomas Hume bersama tujuh kelasi, termasuk Kapten George C. Albrecht hilang tanpa sebarang jejak pada 21 Mei 1891 ketika berlayar dari Chicago ke Muskegon, Michigan.

Pada musim luruh 1921, feri Bella Rosa dilaporkan hilang ketika melalui jajaran tasik misteri itu. Bangkai feri kemudian ditemui terbalik dan terapung di Segi tiga Michigan pada 30 Oktober 1921. Malangnya, 11 penumpang dan semua krew yang menaiki feri itu hilang, tidak berjaya dikesan.

Siasatan ke atas bangkai feri itu mendapati bahagian belakangnya pecah teruk dan atap tercabut seolah-olah berlaku perlanggaran dengan feri lain. Bertambah aneh, tiada rekod perjalanan feri lain dilihat melalui kawasan tragedi itu sewaktu kejadian.

Misteri itu berterusan dengan kejadian melibatkan kapten kapal O.M McFarland, George Donnor pada 28 April 1947, ketika kapal tersebut sedang melalui Segi tiga Michigan.

Ketika itu, Kapten Donnor ingin tidur sebentar di kabin. Dia sempat memberi arahan kepada kelasi supaya mengejutkannya sekitar pukul 6.00 petang. Apabila kelasi mahu menggerakkannya, pintu kabin berkunci dari dalam. Apabila bilik itu berjaya dibuka, Kapten Donnor telah hilang di tempat rehatnya. Sehingga kini tiada seorang pun tahu apa yang terjadi kepada kapten itu.

Manakala sebuah kapal terbang telah berlepas dari New York menuju Minneapolis pada Jun 1950. Ia kemudian dilihat jatuh menjunam ke Segi tiga Michigan tepat di Benton Harbor. Tiada seorang pun krew penerbangan dan penumpang dilaporkan selamat.

Ada banyak lagi kisah-kisah lain yang dilaporkan di perairan ini yang sukar dijelaskan. Ke mana perginya kapal-kapal yang hilang itu? Mengapa tiada satu pun mayat mereka yang lemas ditemui?

Pelbagai teori dikaitkan dengan kehilangan misteri yang berlaku di tasik ini.

Pelbagai spekulasi dan teori dikaitkan dengan kehilangan yang berlaku di Segi Tiga Michigan ini. Bahkan penduduk setempat menganggap kawasan ini sebagai ‘berhantu’.

Media Chicago SunTime pada 22 Mei 2000 pernah mendedahkan gambar imej ‘hantu kapal’ yang dikatakan sering kali muncul di kawasan utara tasik misteri itu dan ia berjaya dikesan pada skrin radar milik Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare, Chicago. Kewujudan imej aneh itu memaksa juruterbang pesawat mengubah laluan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Menurut salah seorang pekerja Persatuan Kawalan Trafik Udara Kebangsaan di Elgin, Illinois, sudah lebih 130 kali imej ‘kapal hantu’ itu menampakkan diri pada skrin radar. Dan mereka menganggapnya sebagai salah satu petanda risiko buruk kepada anak kapal dan penumpang yang melalui kawasan perairan itu.

Bukan itu saja, ramai penduduk berdekatan Segi Tiga Michigan mendakwa menemui banyak jejak kaki misteri yang terbentuk pada permukaan pasir di tepi pantai. Kesan tapak kaki itu dikaitkan dengan raksasa laut berwarna hijau atau ‘hantu laut’ yang dikatakan sering timbul di permukaan tasik sejak bertahun-tahun dulu.

Bukan itu saja, ada sebahagian orang pula mendakwa menyaksikan UFO, bebola api dan cahaya aneh di atas langit sekitar Segi Tiga Michigan. Kehadiran imej aneh ini dikesan pada radar Tasik Michigan sekitar Ogos 1994.

Pengesan radar mendapati sekumpulan 24 objek ganjil dari utara mendekati pantai barat tasik tersebut. Pada waktu yang sama, sekelompok 14 objek lagi didapati menuju ke arah tenggara. Dua kelompok ini kemudian bergerak dalam satu rangkaian dan berkumpul di titik baring AFB sekitar 52,000 meter di bahagian tengah utara Segi Tiga Michigan.

Kemudian seorang jurugambar dari selatan Chicago dikatakan berjaya merakam kehadiran UFO di langit menggunakan kamera digital pada 1 Mac 2000.

Apakah benar segala penemuan aneh itu mempunyai hubung kait dengan misteri yang tersembunyi di dalam air Tasik Michigan? Sehingga kini ia masih terus menjadi persoalan yang sukar dirungkaikan.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen